Berita

KPM laksanakan pemakaian lencana Jalur Gemilang

- Diterbit 27 Mac 2025 10:30 AM MYT

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan melaksanakan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid di institusi pendidikan di bawah kelolaannya berkuat kuasa 21 April ini secara berperingkat.

Menurut kementerian itu, inisiatif yang melibatkan semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru Malaysia ini dilaksanakan bertujuan untuk menyemai semangat patriotisme dan cinta akan negara dalam kalangan murid dan warga pendidik.

“KPM akan membekalkan lencana Jalur Gemilang sebanyak dua unit secara percuma bagi semua murid untuk sesi persekolahan 2025/2026.

“KPM telah menyediakan Garis Panduan Pemakaian Lencana Jalur Gemilang pada Pakaian Seragam Murid di Institusi Pendidikan bawah KPM yang disertakan bersama-sama Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3/2025 sebagai panduan tentang tatacara pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid,” katanya dalam kenyataan.

KPM menambah, inisiatif ini bertepatan dengan fungsi institusi pendidikan untuk menyemai rasa cinta akan negara dan menyuburkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas