Berita

Iklan raya viral lakonan Amir Nafis, Pekin Ibrahim & Mona Allen sentuh hati, angkat kisah trauma anak akibat perceraian

- Diterbit 25 Mac 2025 6:30 AM MYT

IKLAN Hari Raya menyentuh emosi yang menampilkan Amir Nafis, Pekin Ibrahim, dan Mona Allen telah menarik perhatian ramai kerana mengangkat kisah seorang anak yang mengalami trauma akibat perceraian ibu bapanya.

Iklan terbitan Bateriku yang berjudul Battery Killer Raya bukan sahaja meraih hampir 230,000 tontonan di TikTok, malah turut tular di aplikasi X dengan pelbagai komen positif daripada warganet.

Sebagai episod penutup dalam siri Battery Killer, video ini akhirnya membongkar identiti sebenar Battery Killer, iaitu watak Syawal yang dilakonkan oleh Amir Nafis.

Pertengkaran akibat bateri kereta

Dalam penceritaan yang dramatik ini, Syawal digambarkan sebagai individu yang sering merosakkan bateri kereta orang lain setiap kali tiba musim perayaan. Namun, perbuatannya bukan sekadar kenakalan, sebaliknya berpunca daripada trauma masa kecilnya.

Iklan ini membawa penonton menelusuri kembali peristiwa 15 tahun lalu, ketika Syawal masih kanak-kanak dan menyaksikan pertengkaran hebat antara ibu bapanya dalam perjalanan pulang ke kampung pada Hari Raya.

Pergaduhan yang tercetus akibat masalah bateri kereta akhirnya menjadi detik yang membawa kepada perceraian mereka.

Sejak itu, Syawal membesar dengan perasaan marah dan dendam, lalu memilih untuk menimbulkan kesulitan kepada orang lain dengan merosakkan bateri kereta mereka. Setiap kali menjelang Raya, kenangan pahit perpecahan keluarganya kembali menghantuinya.

Namun, dalam satu babak yang penuh emosi, Syawal akhirnya bertemu dengan bapanya, lakonan Pekin Ibrahim, yang kini menyesali kesilapan lalu. Si bapa memohon maaf atas tindakan lampau, menyedari betapa besar kesan pertengkaran mereka terhadap kehidupan anaknya.

 

@bateriku.com

Iklan Raya 2025 | Battery Killer Raya 🌙🕌 Adakah Battery Killer bakal mengganas atau kembali ke pangkal jalan di Hari Raya ini? 🫣 Ingat! Bateriku beroperasi seperti biasa di Hari Raya ini. Dapatkan diskaun RM30 dengan promo code RAYA30 semasa menukar bateri kereta! Jangan biarkan anak anda menjadi BatteryKiller seterusnya! TukarSebelumKong ✨ Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin ✨ Ikhlas dari kami, Bateriku.com! 🚗🔋 @imamirnafis @mona_allen @pekinibrahim74 Baterikudotcom CarBreakdown Baterikong HariRaya IklanRaya

♬ original sound - Baterikudotcom - Baterikudotcom

 

Sorotan media sosial dan kritikan warganet

Dalam media sosial, ramai yang memuji keberanian iklan ini dalam menampilkan isu serius seperti kesan perceraian terhadap anak-anak serta kepentingan penyelenggaraan kenderaan sebelum musim perayaan.

Rata-rata warganet menghargai kritikan sosial yang diketengahkan, terutamanya bagaimana pertengkaran ibu bapa di hadapan anak-anak boleh memberi kesan trauma jangka panjang.

Selain itu, iklan ini turut mencetuskan perbincangan mengenai peningkatan kes perceraian dalam kalangan selebriti dan influencer, di mana anak-anak sering menjadi mangsa apabila kisah peribadi ibu bapa tular di media sosial.

“Battery Killer pun ada pengajaran. Mak ayah tak perlulah bergaduh depan anak, trauma mereka berbeza-beza,” kata seorang pengguna sosial.

“Walaupun iklan ini berkisar tentang bateri kereta, ia tetap membawa mesej mendalam mengenai kesan trauma terhadap anak-anak,” komen seorang warganet.

 

“Hanya kerana masalah bateri kereta, kesannya berlarutan hingga dewasa,” reaksi warganet. – WILAYAHKU

 

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas