DI luar sana terdapat pelbagai jenis rangkaian spa. Namun apa yang menjadi kebimbangan pelanggan adalah sejauh mana ia mampu membantu perawatan wajah atau sekadar indah khabar dari rupa.
Malah tidak dinafikan terdapat sesetengah pengusaha yang mengikat mereka dengan pakej-pakej yang tidak mendatangkan hasil yang diimpikan.
Memberi pandangan tentang perkara tersebut‚ Pengasas White Infinity Spa‚ Mazita Mahmood berkata tindakan pengusaha spa yang tidak bertanggungjawab sedikit sebanyak memberi kesan kepada pengusaha lain.
“Bagi saya‚ kepuasan pelanggan adalah yang paling utama daripada keuntungan semata-mata kerana apabila berpuas hati maka secara tidak langsung mereka akan terus menggunakan khidmat kita.
“Saya sendiri puas apabila dapat membantu mereka yang mengalami kulit bermasalah. Antara pengalaman yang membuatkan saya teruja apabila pelanggan yang dahulunya datang mengadu masalah kulit yang serius akhirnya berterima kasih apabila penderitaan mereka berakhir‚” katanya kepada Wilayahku.
Berkongsi tentang perjalanannya mengusahakan spa yang terletak di Bandar Sri Permaisuri‚ Cheras‚ wanita ini mengakui ia bukanlah sesuatu yang mudah namun minat yang mendalam terhadap kecantikan membuatkannya tidak pernah kenal erti berputus asa.
“Bermacam-macam perniagaan diceburi namun saya akur setiap yang kita lakukan perlu disertai dengan minat. Itu paling utama. Namun minat sahaja tidak cukup‚ ia juga perlu dilengkapi dengan ilmu tentang bidang tersebut.
“Saya meluangkan masa untuk belajar ilmu kecantikan dengan mengikuti kelas. Bermula dengan NCS Academy di Kuala Lumpur saya sanggup terbang ke Korea untuk mengambil kelas lanjutan Facial Advanced Class di Seoul selama hampir setahun.
“Mungkin ramai yang tertanya-tanya kenapa Korea? Ini kerana negara tersebut bukan sahaja terkenal dengan bidang kecantikan bahkan mereka menggunakan teknologi terkini serta teknik-teknik terbaharu yang hebat dan diyakini ramai dalam bidang perawatan‚” jelasnya yang turut mempunyai beberapa buah mesin berteknologi tinggi dari negara tersebut.
Mesra disapa Shya‚ beliau turut menasihatkan wanita agar tidak mudah tertipu dengan iklan produk kecantikan yang mengandungi bahan kimia berbahaya seperti merkuri atau hydroquinone.
“Ramai yang menghadapi masalah kulit akibat penggunaan produk yang salah. Jangan terlalu obses serta mudah untuk mempercayai iklan yang dimainkan di televisyen‚ media sosial dan sebagainya‚” katanya bersyukur dapat membantu ramai wanita yang berdepan masalah kulit.
Jelasnya kecantikan sebenar adalah terletak pada kulit yang sihat dan berseri bukan pada solekan tebal semata-mata untuk menutup masalah kulit.
“Penjagaan yang betul dengan melakukan perawatan yang tepat akan membolehkan kita memiliki glass skin yang menjadi idaman setiap wanita sekali gus tampil dengan lebih yakin tanpa sebarang solekan‚” katanya.
Mengulas lanjut beliau sanggup mengeluarkan perbelanjaan yang besar mengikuti perkembangan terkini teknologi dari Korea untuk memastikan White Infinity Spa tidak ketinggalan dan terus memberi khidmat yang terbaik kepada para pelanggannya.
“Saya menceburkan diri dalam bidang estetik ini bukan untuk mengejar kekayaan‚ saya lebih kepada mahu membantu mendidik wanita tentang penjagaan kulit serta membuang persepsi cantik adalah bersolek tetapi kecantikan asli adalah kulit yang sihat.
“Dengan harga mampu milik yang ditawarkan tanpa sebarang pakej yang membebankan‚ saya yakin apa yang saya lakukan ini adalah ibadah untuk membantu mereka yang berada dalam kesusahan‚” katanya. – WILAYAHKU