Wawancara

Bendung masjid jadi medan berpolitik

FAHMI (tengah) menitikberatkan pendidikan bagi melahirkan generasi berilmu khususnya di DUN Seri Setia.
- Diterbit 24 Mac 2025 12:36 PM MYT
PERTAMA kali menyertai pilihan raya dan menang dengan bergaya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan terus dilantik sebagai Exco Hal Ehwal Agama Islam, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor, Yang Berhormat (YB) DR FAHMI NGAH bertekad untuk mengimbangi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam urusan Hal Ehwal Agama Islam di Selangor.

Selain itu, isu yang melingkari portfolionya khusus dalam isu pentauliahan pendakwah serta keperluan memelihara kesucian institusi masjid dan surau memerlukan tindakan rapi supaya ia tidak menjadi medan berpolitik untuk pendakwah yang tidak bertanggungjawab.

Beliau berkongsi dengan wartawan Wilayahku, AZLAN ZAMBRY mengenai aspirasinya untuk menjadikan Model Masjid Pengurusan di Selangor diselaraskan sekali gus membendung aktiviti menjadikan masjid sebagai medan berpolitik.

Boleh kongsikan bagaimana perjalanan politik YB sehingga dilantik sebagai Exco Selangor?

Ia bermula sewaktu menuntut di universiti di England dan menganggotai beberapa majlis pimpinan pelajar dan kami terlibat menyuarakan kezaliman yang berlaku terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum itu dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Apabila pulang ke Malaysia pada 2013, saya ditawarkan bekerja sebagai Ketua Staf di Pejabat Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin oleh Datuk Seri (Anwar) yang juga Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.

Kemudian saya ditempatkan di pejabat beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor dan di situ saya mencorakkan beberapa program pembangunan ekonomi untuk negeri Selangor daripada penambahbaikan pengurusan sampah dan sisa pepejal sehingga program digital iaitu Smart Selangor.

Apabila beliau menjadi Perdana Menteri pada 2022 dan berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN), saya ditawarkan untuk bertanding di DUN Seri Setia, iaitu kampung saya sendiri dan memenangi pilihan raya dengan majoriti 11,331 dan kedua tertinggi untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melayu di bawah tiket PKR di Selangor. Akhirnya dipilih untuk menjadi Exco dengan portfolio Ehwal Agama Islam, Industri Halal, Infrastruktur Digital, Pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).

Apakah fokus utama pembangunan dan kebajikan rakyat yang YB sedang usahakan untuk penduduk?

Dari segi kebajikan rakyat, kita berusaha sedaya upaya untuk menguar-uarkan program bantuan yang ada oleh Kerajaan Negeri Selangor dan saya dapati masih ramai yang tidak tahu jenis bantuan yang ditawarkan.

Pada tahun lalu, kita berjaya daftarkan lebih 10,000 penerima bantuan yang baru dan ia sebelum ini belum pernah memohon bantuan daripada Pusat Khidmat ADUN Seri Setia.

Ada juga bantuan untuk golongan kelas pertengahan yang mengajukan permintaan untuk memperbaiki infrastruktur seperti laluan pejalan kaki berbumbung, turapan jalan awam yang lebih baik dan penyelenggaraan taman-taman awam untuk lebih mesra pengguna. Untuk golongan T20 dan kebanyakan warga emas yang ada, rata-ratanya ingin menyumbang semula kepada komuniti dan saya sedang terokai beberapa program baharu contohnya mewujudkan koperasi bagi mereka bersama-sama mengumpul dana dan memanfaatkannya untuk pembangunan DUN Seri Setia yang turut memanfaatkan golongan B40.

Modul kerjasama itu sedang dibangunkan dan juga diuji dan sebagai contohnya model koperasi masjid yang paling baik di Malaysia dan saya rasa ia turut akan dikembangkan ke masjid-masjid lain di DUN Seri Setia sekali gus merancakkan lagi pembangunan ekonomi setempat.

Apakah langkah-langkah kerajaan negeri dalam memastikan kesejahteraan golongan B40 dan M40, terutama dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat?

Inilah yang kita bantu banyak berbanding dengan Kerajaan Persekutuan, kalau kita bantu berikan bantuan kewangan seperti Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) untuk penerima yang layak dan memperoleh RM300 sebulan, bantuan-bantuan musim perayaan yang kerajaan negeri bekalkan baucar-baucar kepada semua perayaan utama seperti Aidilfitri, Deepavali, Tahun Baharu Cina, untuk mereka yang layak.

Kita juga mengadakan jelajah Ehsan Rahmah yang menawarkan barangan keperluan harian dengan harga yang berpatutan dan telah disubsidikan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan program ini mendapat sambutan khususnya golongan B40 yang mendiami PPR dan flat-flat kos rendah.

Sebagai Exco, apa cabaran terbesar yang YB hadapi dalam mengimbangi antara pembangunan teknologi dan pemeliharaan nilai-nilai Islam di Selangor?

Saya tak rasa ia soal imbang, ia adalah bagaimana kita menggunakan teknologi untuk mengupayakan lagi penerapan nilai-nilai Islam dalam masyarakat. Teknologi ini sebagai satu alat yang kita boleh gunakan, contohnya jika hendak bertanya mengenai isu-isu fatwa dan jika ia didigitalkan dan dibuat secara kecerdasan buatan (AI), berdasarkan fatwa yang ada, ia dapat memudahkan rakyat dan umat Islam untuk mengetahui sesuatu isu. Contohnya isu nikah kahwin dan permohonannya kini boleh dibuat secara dalam talian, dan ia boleh dipintarkan lagi menggunakan teknologi AI terkini.

Sekarang ini saya rasa patut dibuat profil data-data umat Islam dan bukan Islam di Selangor, bagaimana kita dapat gunakan dan kita kumpul dan analisis menggunakan teknologi data raya untuk kenal pasti profil-profil bantuan dan profil sesetengah demografi supaya dapat difikirkan bentuk-bentuk bantuan yang baru yang lebih sesuai kepada mereka. Contohnya, hari ini anak-anak muda ini, mereka tidak dapat apapun daripada kerajaan negeri dan selagi kita tidak tahu berapa ramai yang ada, tinggal di mana, peratusan kaum dan bangsa serta apa perkara yang menjadi keutamaan mereka dan menerusi data yang kita ada, ia boleh membentuk bantuan baharu khusus untuk golongan ini. Saya rasa mereka mungkin terasa sedikit dipinggirkan berbanding golongan lain.

Terdapat laporan mengenai penceramah tanpa tauliah yang menyampaikan ceramah di masjid dan surau. Bagaimana kerajaan negeri memastikan hanya penceramah bertauliah diberikan ruang untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat?

Tauliah yang diberikan ini ada empat kategori, dan setiap kategori itu hanya untuk pengajaran yang dikhususkan sahaja. Contohnya tauliah D3 hanya dikhususkan untuk mengajar Al-Quran, dan sekiranya ketika sesi mengajar itu melencong ke lain atau perbincangan lain, ia dikira melanggar syarat tauliah, malah ia lebih teruk sekiranya tiada tauliah.

Untuk masa ini, memang kita syaratkan untuk Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid mewajibkan semua penceramah yang dijemput itu mempunyai tauliah dan boleh membuat semakan sendiri sama ada penceramah tersebut mempunyai tauliah atau tidak.

Apa yang berlaku sekarang ini, masih lagi ada pemegang-pemegang tauliah yang menjadi ahli atau anggota kepada parti-parti politik tertentu. Ini kita perlukan satu dasar baharu sama ada kita hendak pukul rata atau adil kepada semua pemegang tauliah bahawa mereka tidak boleh menjadi ahli kepada mana-mana parti politik tertentu. Dasar baharu ini juga bermaksud, pemegang tauliah ini tidak boleh ada kaitan langsung sama ada menjadi ahli atau memegang jawatan pun tidak boleh menganggotai apa-apa pertubuhan politik. Dan itu saya rasa salah satu cara untuk kita pastikan pemegang tauliah itu benar-benar mengajar.

Keduanya, kita juga sedang lihat apa yang diajar. Maksudnya, jika pengajar itu mengajar Al-Quran, apakah kaedah pengajaran Al-Quran yang rasmi oleh kerajaan negeri yang wajib gunakan.

Kalau dia mengajar kitab, kitab apa yang kita benarkan. Saya rasa pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sedang melihat ke arah itu untuk dikemaskan lagi kerana ia selama ini dikesampingkan supaya ia boleh dipelihara dengan lebih baik.

Isu politik kepartian dalam masjid dan surau sering menjadi polemik. Apakah tindakan kerajaan negeri dalam memastikan institusi-institusi ini kekal sebagai tempat penyatuan ummah tanpa pengaruh politik kepartian?

Apa yang berlaku sekarang ini, kita amat prihatin dan peka terhadap aduan daripada rakyat. Sekiranya ada aduan melibatkan masjid-masjid tertentu yang menjadi medan politik, maka jemaah boleh membuat aduan terus kepada JAIS. Model yang kita gunakan sekarang ini adalah Model Masjid Pengurusan dan kita boleh ambil masjid itu supaya diletakkan pengurusan yang betul dan tidak membenar sebarang aktiviti kepartian berlaku di dalam kawasan masjid.

Melalui kaedah sedia ada, kita telah mengambil alih lebih 60 masjid dan tahun ini ada tambahan 20 masjid. Ini telahpun menunjukkan satu keadaan yang lebih baik dan apabila JAIS ambil alih, maka sudah tidak berlaku lagi sebarang perkara kepartian di dalam masjid. Ia tidak terhad kepada isu politik, malah turut melibatkan salah guna kuasa dan pecah amanah, maka tindakan mengambil alih masjid perlu dibuat bagi menjaga kesucian institusi berkenaan.

Sejauh mana tahap kepatuhan jawatankuasa masjid dan surau di Selangor dalam memperakui arahan dan garis panduan yang dikeluarkan oleh MAIS? Apakah langkah penguatkuasaan yang diambil terhadap pihak yang ingkar?

Kalau kita lihat bilangan masjid di seluruh Selangor ini adalah 440 buah. Kalau isu kepatuhan, saya rasa ada berlaku rungutan di bawah tetapi peratusan masjid-masjid yang berlaku rungutan ini saya rasa berkurangan kerana kita sudah ambil alih menerusi program Masjid Pengurusan. Kita terbuka dan saya tidak rasa masjid yang bermasalah ini merupakan angka yang besar, rata-ratanya pengurusan yang baik dan hanya sekumpulan kecil sahaja yang perlu kita betulkan. Kita ada kaedah-kaedah Masjid Pengurusan yang boleh diambil alih dan itulah antara langkah penguatkuasaan yang telah diambil dan ia akan terus dilaksanakan bagi memastikan masjid di Selangor mempunyai AJK yang mematuhi kesemua arahan dan garis panduan MAIS. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas