POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran serta kenaikan pangkat beberapa pegawai kanan sebagai langkah strategik dalam memperkukuh organisasi dan meningkatkan kecekapan operasi pasukan.
Setiausaha Polis Malaysia, SAC Datuk Kamaruzaman Abdullah, berkata pertukaran ini melibatkan pegawai di pelbagai jabatan dan negeri serta berkuat kuasa dalam masa terdekat.
“Rombakan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan PDRM dalam mempertingkatkan keberkesanan pasukan keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini,
Antara pegawai yang terlibat ialah Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, DCP Datuk Azry Akmar Ayob, yang akan berpindah sebagai Timbalan Ketua Polis Pahang.


Turut terlibat, Timbalan Pengarah Siasatan/Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, DCP Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, yang kini dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur.
Selain itu, Ketua Penolong Pengarah E9 Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, DCP Datuk Aida Abdul Hamid, bertukar ke jawatan Ketua Penolong Pengarah E6 Cawangan Khas di ibu pejabat yang sama.
Bagi posisi Ketua Penolong Pengarah E3 Cawangan Khas, DCP Datuk Mohd Hairuddin Che Hamid kini dipindahkan ke jawatan Ketua Penolong Pengarah E7, manakala DCP Azhar Sepawi, yang sebelum ini memegang jawatan Ketua Penolong Pengarah E6, kini dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah E3 Cawangan Khas Bukit Aman.
Sementara itu, beberapa pegawai berpangkat Senior Assistant Commissioner (SAC) turut mengalami pertukaran. SAC Datuk Mohamad Zainal Abdullah, yang sebelum ini merupakan Ketua Penolong Pengarah (D5) Pendakwaan/Undang-Undang Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, kini menjawat jawatan Timbalan Pengarah Siasatan/Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dengan memangku pangkat Deputy Commissioner of Police (DCP).
SAC Abdul Latiff Mehat, yang sebelum ini Ketua Penolong Pengarah D14 Siasatan Jenayah Terancang Bukit Aman, kini dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Johor dengan memangku pangkat DCP.
Turut mengalami perubahan ialah SAC Shamsul Amar Ramli, yang bertukar dari Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman sebagai Timbalan Pengarah Siasatan Jenayah Siber, dengan memangku pangkat DCP.
Dalam pada itu, beberapa pegawai berpangkat Assistant Commissioner of Police (ACP) juga terlibat dalam pertukaran ini. Antaranya ACP Mohamad Rosni Mohamed Lazim, yang sebelum ini mengetuai Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Negeri Sembilan, kini dilantik ke jawatan yang sama di Selangor dengan memangku pangkat SAC.
Selain itu, ACP Anbalagan A/L Arumugam, yang sebelum ini merupakan Ketua Polis Daerah Serdang, Selangor, kini dilantik sebagai Ketua Cawangan Khas Kedah dengan memangku pangkat SAC.
Antara pegawai yang terlibat ialah Supt Seksyen Wang Awam II, Bahagian Dasar Persaraan Wang Awam dan Khidmat Pengurusan, Kementerian Kewangan, Supt Khairul Anuar Khalid berpindah ke Bahagian ke jawatan Timbalan Pengarah (Operasi/Bantuan Teknik) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Bukit Aman dengan memangku pangkat Asisten Komisioner Polis (ACP).
Supt Mohd Azahari Mohd Noor, yang sebelum ini bertugas sebagai Pegawai Turus E4B2 di Cawangan Khas, Bukit Aman, dilantik sebagai Timbalan Ketua Cawangan Khas Risikan dan Operasi di Kontinjen Sarawak dengan pangkat pemangku ACP.
Selain itu, Supt Nor Azizan Yusof, yang sebelum ini berkhidmat sebagai Pegawai Pemerintah Unit 5 Pasukan Simpanan Persekutuan di Ipoh, akan mengambil alih jawatan Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Melaka, dengan memangku pangkat ACP.
Sementara itu, Supt Paul Henry a/l Mewar Singh pula ditugaskan semula dari jawatan Ketua Jabatan Logistik dan Teknologi di Pahang ke jawatan Timbalan Pengarah (Pengurusan Fasiliti) Bahagian Fasiliti/Bekalan/Aset, Jabatan Logistik dan Teknologi, Bukit Aman. Beliau juga akan memangku pangkat ACP.
Pertukaran lain yang turut diumumkan termasuk Supt Sam Phan a/l Prat Deng yang akan mengetuai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Perlis, serta Supt Charan a/l Ai Wan yang dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Perak. Kedua-dua pegawai ini akan memangku pangkat Supt.
Sementara itu, DSP Syamsul Amri Abu Bakar @ Zain, yang kini bertugas sebagai Timbalan Komandan di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta, Perak, telah dinaikkan pangkat sebagai Komandan di pusat latihan yang sama, dengan memangku pangkat Supt.
Beberapa pegawai kanan lain turut terlibat dalam pertukaran ini, termasuk DSP Johari Yahya, DSP Mohd Radzi Abdul Rahim, dan DSP Mohd Nazri Ismail yang masing-masing akan bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Tapah, Kubang Pasu, dan Jempol dengan memangku pangkat Supt.
Kamaruzaman berkata, pertukaran dan kenaikan pangkat ini sejajar dengan matlamat strategik PDRM dalam memperkemas struktur kepimpinan serta memastikan kelancaran operasi di semua peringkat.
“Pelantikan dan pertukaran ini akan berkuat kuasa pada 21 April 2025 bagi memastikan peralihan tugas berjalan lancar dan perkhidmatan kepada masyarakat tidak terganggu,” katanya.-WILAYAHKU