Berita

YAPEIM salur RM1.2 juta bantu 7,700 pelajar

- Diterbit 20 Mac 2025 2:15 PM MYT

SEJUMLAH RM1.2 juta diperuntukkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) bagi Program Ramadan MADANI YAPEIM di lebih daripada 20 lokasi di seluruh negara.

YAPEIM dalam kenyataan berkata bantuan tersebut disalurkan kepada 7,700 pelajar yang memerlukan.

“Penerima manfaat adalah pelajar institusi pengajian tinggi, sekolah rendah dan sekolah menengah dalam kalangan keluarga miskin tegar, keluarga miskin dan keluarga berpendapatan rendah (B40), sebahagian daripada mereka berupa penerima manfaat program Didik MADANI YAPEIM yang diadakan akhir tahun lepas,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Program Ramadan MADANI YAPEIM bertujuan menyantuni para pelajar yang memerlukan di bulan Ramadan al-Mubarak ini serta persiapan menyambut Aidilfitri menerusi sumbangan tunai.

“Ia turut mengambil kira teras Kesejahteraan Insan yang terdapat dalam Pelan Transformasi Al-Falah, Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama, di bawah fokus Kemampanan Ekonomi dan Kebajikan Sosial Islam yang menjadi panduan kepada YAPEIM dalam menyantuni masyarakat khususnya umat Islam di Malaysia yang memerlukan bantuan serta bimbingan sewajarnya,” katanya.

Tambahnya program tersebut diadakan serentak di Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia (UIAM); Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Kuching; Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di Melaka dan Politeknik Balik Pulau di Pulau Pinang.

“Di UIAM dan UTeM, YAPEIM menyalurkan sumbangan masing-masing berjumlah RM45,000 yang membabitkan sumbangan YAPEIM Didik berjumlah RM30,000 dalam bentuk bantuan kewangan RM100 setiap satu kepada 300 orang pelajar dan tajaan majlis berbuka puasa sebanyak RM15,000.

“Manakala di UNIMAS, kita menyalurkan sumbangan berjumlah RM47,000 yang membabitkan sumbangan YAPEIM Didik berjumlah RM30,000 dalam bentuk bantuan kewangan kepada 300 orang pelajar dan tajaan majlis berbuka puasa sebanyak RM17,000.

“Yang terakhir di Politeknik Balik Pulau, YAPEIM menyalurkan sumbangan berjumlah RM46,000 yang membabitkan sumbangan YAPEIM Didik berjumlah RM30,000 dalam bentuk bantuan kewangan kepada 300 orang pelajar dan tajaan majlis berbuka puasa sebanyak RM16,000,” katanya.

Jelasnya sehingga hari ini Program Ramadan MADANI YAPEIM telah menyantuni pelajar memerlukan di 11 lokasi terpilih. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas