Berita

Peruntukan RM58 juta bagi pembangunan Labuan

ZALIHA melihat pelan pembangunan Labuan Waterfront yang mampu meningkatkan sosioekonomi serta sektor pelancongan di Labuan.
- Diterbit 20 Mac 2025 5:27 PM MYT
KERAJAAN Persekutuan memperuntukkan RM58 juta bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan dalam usaha meningkatkan pertumbuhan sosioekonomi dan sektor pelancongan Labuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata ia bakal dilaksanakan tahun ini sebagai cerminan keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap Labuan.

Menurut beliau antara projek utama yang menjadi fokus kerajaan adalah pembinaan Labuan WaterFront (Fasa 1) di bawah Rancangan Malaysia Ke-14 (RMK14).

“Projek tersebut yang membabitkan peruntukan hampir RM39 juta itu bakal menjadi satu daya tarikan baharu dan mampu meningkatkan pertumbuhan ekonomi di Labuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam lawatan kerjanya ke Labuan baru-baru ini.

Zaliha berkata projek Labuan Waterfront itu sejajar dengan visi C.H.A.S.E City iaitu Clean City (bandar bersih), Healthy City (bandar sihat), Advanced City (bandar maju), Safe City (bandar selamat) dan Eco Friendly City (bandar mesra alam).

Katanya elemen seperti bandar sihat berpotensi untuk menarik pelancong.

“Tapak yang dicadangkan, meliputi hampir 14,000 meter persegi di Victoria Harbour Beach akan menampilkan esplanade, tempat letak kereta berpusat dan laluan pejalan kaki untuk menyokong pembangunan bandar yang lebih teratur.

“Projek ini merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan strategik Labuan yang telah dibincangkan dalam Mesyuarat Hala Tuju Wilayah Persekutuan awal tahun ini.

“Sekiranya direalisasikan, projek ini dijangka bukan sahaja merancakkan industri pelancongan, malah mampu menarik lebih banyak pelaburan serta memberi manfaat kepada ekonomi tempatan,” katanya.

Terdahulu dalam lawatan tersebut, Zaliha berkesempatan meninjau pembinaan infrastruktur mekanikal dan elektrik bagi sistem kawalan banjir di Kampung Gersik yang kini telah mencapai 63% siap dengan peruntukan RM7.9 juta.

Beliau turut memaklumkan kerajaan telah memperuntukkan RM11 juta untuk pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf Jambatan Patau-Patau Satu yang akan memanfaatkan lebih 1,500 penduduk Kampung Pelancongan Labuan.

Selain itu, Zaliha mengagihkan 150 tangki air bernilai RM82,000 kepada penduduk di tujuh buah kampung di seluruh Labuan bagi menambah baik kemudahan asas untuk masyarakat setempat yang masih terkesan masalah bekalan air susulan kerja-kerja membaik pulih dan penggantian paip yang sedang giat dilaksanakan. – WILAYAHKU
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas