PERDANA Menteri menegaskan bahawa prinsip utama Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) adalah memastikan setiap projek pembaharuan kediaman hanya dijalankan selepas perundingan dengan pemilik bagi mendapatkan persetujuan mereka.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, dakwaan bahawa pemilik asal, khususnya orang Melayu dan Bumiputera, akan kehilangan hak mereka selepas pelaksanaan PSB adalah tidak benar dan hanya bertujuan untuk mengelirukan rakyat.
“Selepas persetujuan dicapai, pemilik akan menerima semula hartanah yang telah diperbaharui, selain mendapat pampasan, manfaat sara hidup dan beberapa manfaat lain sepanjang tempoh pembinaan serta selepas projek siap,” katanya dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri, hari ini yang dipancarkan secara siaran langsung menerusi Facebook rasmi Pejabat Perdana Menteri dan Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, PSB memastikan rumah yang diperbaharui akan diserahkan kepada pemilik asal di tapak pembangunan yang sama.
“Nilai pampasan hartanah juga akan mengambil kira harga pasaran masa hadapan bagi membolehkan pemilik memiliki semula rumah mereka tanpa beban kewangan yang besar.
“Situasi sekarang menyebabkan pemilik menerima pampasan berdasarkan nilai semasa, yang sering kali tidak mencukupi untuk memiliki rumah baharu. PSB menyelesaikan isu ini dengan memastikan pampasan lebih tinggi serta pelbagai manfaat lain, termasuk bayaran sewaan kediaman transit dan ex-gratia renovasi,” jelasnya.
Selain itu, PSB turut memperkenalkan pelbagai bentuk pampasan atau manfaat tambahan bagi memastikan kebajikan pemilik terpelihara sepanjang tempoh pembangunan.
“Antaranya termasuk bayaran sewaan kediaman transit bagi pemilik yang perlu berpindah sementara, bayaran ex-gratia untuk renovasi hartanah sedia ada, dan pelbagai bayaran lain untuk membantu sara hidup pemilik sehingga pembinaan selesai,”katanya.
Tunku Nashrul turut menyangkal dakwaan bahawa PSB lebih mengutamakan pemaju berbanding rakyat.
“Persepsi bahawa undang-undang ini akan menyebabkan orang Melayu dan Bumiputera kehilangan tempat di bandar adalah tidak benar. Sebaliknya, PSB digubal bagi melindungi hak pemilik, memastikan pampasan lebih adil, dan memperkukuh martabat rakyat, terutama golongan miskin bandar,” tegasnya samnil menambah bahawa PSB adalah penyelesaian kepada pergelutan antara pemilik dan pemaju yang telah berlarutan sekian lama.
Tunku Nashrul menempelak pihak tertentu yang cuba menyebarkan fitnah terhadap Perdana Menteri berkaitan PSB.
“Walaupun kita berada dalam bulan Ramadan, masih ada pihak yang giat menabur fitnah serta mengulang cerita lapuk demi mempengaruhi minda masyarakat.
“Ini menunjukkan mereka semakin terdesak dan ketandusan idea dalam membangunkan negara,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan akan terus memantau sebarang cubaan menggugat kestabilan negara dan memastikan kesejahteraan rakyat terus dipelihara.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menegur tindakan individu yang menampar seorang pemuda bukan Islam hanya kerana makan di khalayak ramai baru-baru ini.
“Sebarang tindakan seperti ini perlu dihentikan kerana ia bertentangan dengan semangat perpaduan dan keharmonian negara. Islam mengajar kita untuk bersikap sabar dan bertoleransi, bukan bersikap bengis serta mengancam keamanan masyarakat,” katanya.
Beliau menekankan bahawa isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum boleh dielakkan jika semua pihak mengamalkan prinsip hormat-menghormati bagi membina negara yang bertamadun.-WILAYAHKU