Berita

DBKL perjelas tindakan hapus mural di hentian bas 99961

- Diterbit 19 Mac 2025 1:30 PM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang menjalankan kerja-kerja menaik taraf dan mencantikkan hentian bas serta kios di sekitar ibu kota sebagai persediaan menghadapi Mesyuarat Kepengerusian ASEAN 2025.

Dalam satu kenyataan media, DBKL memaklumkan bahawa sebanyak 21 hentian bas dan kios di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terlibat dalam program penyelenggaraan ini.

“Setakat ini, 18 hentian telah menjalani proses mengecat, membaik pulih struktur, serta penggantian bumbung bagi memastikan keselesaan pengguna, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, tindakan pihak berkuasa memadam lukisan mural di beberapa hentian bas menimbulkan pelbagai reaksi.

DBKL menjelaskan bahawa mural tersebut dibuat tanpa kebenaran rasmi, menyebabkan ia terpaksa dipadam mengikut prosedur penyelenggaraan yang ditetapkan.

“Hentian bas dan kios yang terlibat dengan lukisan mural ini terletak di Jalan Raja Chulan dan Jalan Raja Azlan Shah. Disebabkan kios di Jalan Raja Azlan Shah berada dalam keadaan usang dan tidak lagi ekonomik untuk dibaik pulih, DBKL mengambil keputusan untuk merobohkannya,” kata kenyataan itu.

DBKL turut menegaskan bahawa pihaknya menghargai usaha komuniti seni dalam memperindahkan bandar raya, namun menekankan kepentingan mendapatkan kelulusan terlebih dahulu bagi memastikan kesesuaian dengan persekitaran bandar.

“Pihak kami mengalu-alukan sebarang cadangan serta perbincangan daripada mana-mana pihak yang ingin menyumbang kepada keindahan Kuala Lumpur secara sah dan terancang,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan atau cadangan mengenai inisiatif pengindahan bandar, orang ramai boleh menghubungi DBKL melalui e-mel [email protected].

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas