PENGOPTIMUMAN saiz dan penstrukturan semula PETRONAS perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan kemantapan daya saing syarikat minyak dan gas nasional itu di dalam industri petroleum tempatan dan antarabangsa.
Demikian ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengenai tindakan PETRONAS melaksanakan penstrukturan semula organisasi.
Walau bagaimanapun jelas beliau, PETRONAS akan memastikan proses tersebut dilakukan mengikut prosedur yang betul, adil dan diberi keprihatinan serta pertimbangan sewajarnya bagi memastikan kebajikan mereka yang terlibat tetap terjaga.
“Syarikat-syarikat di dalam industri minyak dan gas global perlu bersedia menghadapi cabaran baharu seperti peralihan tenaga serta perubahan di dalam pasaran global yang semakin dinamik dan kompleks.
“Bagi meningkatkan tahap daya saing dalam menghadapi cabaran ini, syarikat-syarikat terkemuka di peringkat global ini melaksanakan usaha-usaha bagi meningkatkan produktiviti tenaga kerja dan penstrukturan semula organisasi,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.
Beliau menjawab soalan Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh mengenai kesan langkah ‘right-sizing’ (penyusunan semula) tenaga kerja oleh PETRONAS terhadap ekonomi negara dan sektor pekerjaan serta adakah kerajaan akan memperkenalkan insentif atau pelan sokongan bagi pekerja yang terjejas di samping memastikan kestabilan industri minyak dan gas.
Azalina berkata, PETRONAS juga sedang melaksanakan usaha-usaha yang serupa bagi memastikan ia kekal berdaya saing serta dapat terus menyumbang kepada pembangunan negara secara mampan.
“Ini bukan kali pertama PETRONAS mengambil langkah seperti ini,” katanya. – WILAYAHKU