KERAJAAN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat keharmonian negara melalui anasir anti-Islam dan penghinaan agama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata langkah tegas sedang diambil bagi memastikan kesucian Islam terus terpelihara, termasuk pemantauan ketat di media sosial serta tindakan undang-undang ke atas pesalah.
Katanya, usaha bersepadu antara agensi kerajaan telah digerakkan bagi menangani isu ini secara efektif.
“Kerajaan Madani tidak bertoleransi dengan sebarang cubaan mewujudkan kegelisahan dalam masyarakat, terutamanya yang menyentuh isu 3R (Religion, Royalty, Race).
“Kami akan pastikan tindakan tegas diambil terhadap mereka yang mencetuskan provokasi atau menghina agama Islam,” katanya ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar di Dewan Negara.
Menurut beliau, pihak JAKIM bekerjasama erat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memantau dan menyekat sebarang kandungan yang berunsurkan penghinaan terhadap Islam.
“Mana-mana individu yang didapati bersalah boleh disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dengan hukuman maksimum tiga tahun penjara, denda RM5,000, atau enam sebatan,” katanya.
Mohd Na’im menegaskan bahawa Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (HARMONI) yang dipengerusikan bersama oleh beliau dan Menteri Perpaduan Negara akan terus memainkan peranan dalam memastikan kesejahteraan antara agama terjaga.
“Talian Aduan Isu Hina Islam juga diaktifkan oleh JAKIM bagi membolehkan rakyat menyalurkan laporan segera.
“Kami mahu pastikan setiap provokasi berbentuk penghinaan agama ditangani dengan pantas dan berkesan,” tambahnya.
Ujarnya, Kerajaan komited untuk mempertahankan kesucian Islam sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 3(1) dan tidak akan berdiam diri terhadap ancaman anasir yang cuba menggugat kestabilan negara. – WILAYAHKU