Berita

Tiada semakan semula pencen pesara GLC

- Diterbit 13 Mac 2025 10:00 AM MYT

KERAJAAN tidak bercadang untuk mengkaji semula kadar pencen pesara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom Malaysia (TM) dan Pos Malaysia, walaupun jumlah yang diterima lebih rendah berbanding pesara kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, berkata pesara GLC telah diberikan pilihan sama ada untuk kekal dalam sektor awam atau menyertai syarikat yang diswastakan, yang menawarkan faedah berbeza termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurutnya, perbezaan jumlah pencen antara pesara kerajaan dan pesara GLC berlaku kerana pencen dikira berdasarkan jumlah tahun perkhidmatan dalam sektor awam sahaja, tidak termasuk tempoh bekerja di GLC selepas penswastaan.

“Sebagai contoh, pegawai yang kekal dalam perkhidmatan awam selama 30 tahun dengan gaji akhir RM5,000 akan menerima pencen RM2,500 sebulan, manakala pegawai yang hanya berkhidmat 10 tahun sebelum menyertai GLC hanya layak menerima RM833 sebulan.

“Namun, pesara GLC menerima faedah lain Caruman KWSP majikan sepanjang tempoh berkhidmat di GLC, gaji lebih tinggi selepas penswastaan, sekali gus meningkatkan simpanan KWSP dan kemudahan perubatan di hospital kerajaan, universiti dan pertahanan,” katanya ketika sesi jawapan lisan di Dewan Negara.

Menurut Zaliha, Dasar Penswastaan Negara yang diperkenalkan sejak 1983 bertujuan mengurangkan beban kewangan kerajaan, meningkatkan kecekapan sektor perkhidmatan dan merancakkan ekonomi.

“Antara jabatan yang diswastakan ialah TNB (1990) yang sebelum ini dikenali sebagai Lembaga Letrik Negara (LLN), TM (1987) sebelum ini beroperasi sebagai Jabatan Telekom Malaysia dan Pos Malaysia (1992) yang sebelum ini di bawah Jabatan Perkhidmatan Pos,” katanya.

Zaliha menegaskan bahawa kerajaan akan terus meneliti sebarang langkah tambahan bagi kebajikan pesara jika terdapat keperluan.

“Namun, buat masa ini, tiada rancangan untuk menaikkan kadar pencen pesara GLC, kerana mereka telah menerima manfaat lain sepanjang tempoh perkhidmatan,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas