KERAJAAN buat masa ini tidak bercadang untuk mengikut langkah Amerika Syarikat (AS) dalam dasar menghantar pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara asal sebagai dasar baharu yang lebih keras bagi menyelesaikan isu lambakan warga asing dalam negara.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, ini kerana pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa menambah baik prosedur kawalan dan penguatkuasaan peraturan-peraturan imigresen bagi mengawal keberadaan PATI.
“Antara usaha penambahbaikan yang telah dan sedang dilaksanakan kementerian bersama-sama agensi di bawahnya termasuk pengenalan Sistem Saringan Awal Penumpang (APS) yang akan mula digunakan sepenuhnya pada Disember tahun ini.
“Melalui sistem ini penumpang akan disaring seawal 72 jam sebelum berlepas ke Malaysia untuk memastikan hanya pengembara tulen yang akan dibenarkan masuk ke dalam negara,” katanya di Dewan Negara.
Beliau menjawab soalan Senator Azahar Hassan sama ada kerajaan bercadang untuk mengikut langkah Presiden AS, Donald Trump dalam dasar menghantar pulang PATI ke negara asal sebagai dasar baru yang lebih keras bagi memastikan isu lambakan warga asing dalam negara dapat diselesaikan.
Shamsul Anuar berkata, selain itu pihak kementerian melakukan penambahbaikan sistem MYVISA melalui penggunaan Optical Charater Recognition (OCR) untuk mempercepatkan proses verifikasi dokumen semasa permohonan visa dibuat.
OCR katanya, membolehkan maklumat daripada pasport pemohon diverifikasi tanpa ada intervensi pemohon untuk mengunci masuk (key in) data peribadi.
“Penggunaan OCR ini sekali gus menghalang pemohon daripada memberi maklumat palsu dalam permohonan visa.
“Kita juga melakukan semakan permohonan visa dengan memastikan pelawat-pelawat asing ke negara ini mempunyai tiket pulang ke negara asal mereka (return ticket) dan mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk menyara diri di sepanjang masa berada di negara ini,” katanya.
Beliau menambah, selain itu penguatkuasaan penggunaan aplikasi MyBorderpass bagi mengurangkan interaksi manusia yang menggabungkan ciri-ciri kecerdasan buatan (AI) bagi pemeriksaan keluar masuk Malaysia terutama dalam membuat pengecaman terhadap facial recognition, t-zone wajah, iris dan juga biometrik.
Malah katanya, dalam isu tersebut, kerajaan mewajibkan pengisian Malaysia Digital Arrival Card (MDAC) kepada semua pelawat bagi memudahkan pengesanan keberadaan warga asing.
“Antara usaha lain adalah memberi fokus kepada operasi penguatkuasaan di lokasi hotspot di seluruh negara yang dikenal pasti menjadi tumpuan warga asing dan PATI. Operasi penguatkuasaan ini turut melibatkan operasi secara bersepadu dengan kerjasama lain-lain agensi penguat kuasa terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya. – WILAYAHKU