PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak agar segera menoktahkan isu perkauman dan memainkan peranan sebagai agen perpaduan demi keharmonian negara.
Setiausaha Akhtar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata mesej tersebut disampaikan Perdana Menteri ketika menghadiri Majlis Iftar Bersama Pengamal Media semalam.
“Perdana Menteri menasihati trio DJ Era FM agar sentiasa membawa mesej perpaduan dalam tugasan harian mereka. Namun, seruan ini bukan hanya kepada mereka, tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Menurutnya, Perdana Menteri menegaskan bahawa semua rakyat dari pelbagai kaum perlu menghentikan polemik perkauman dan bergerak ke hadapan dengan semangat saling hormat-menghormati.
“Beliau juga menghargai mana-mana pihak yang telah menghentikan penyebaran unsur negatif dan tidak mengeruhkan keadaan,” tambahnya.
Mengenai isu perbezaan hukuman dan kompaun bagi kes tertentu, Tunku Nashrul berkata Perdana Menteri telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk memberikan penjelasan lanjut bagi mengelakkan kekeliruan.
“Perdana Menteri mahu semua pihak memahami perubahan akta dan undang-undang yang telah diluluskan. Sebarang maklumat yang tidak tepat hanya akan mencetuskan persepsi negatif serta menjejaskan usaha menyemai keharmonian dalam masyarakat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri hari ini mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri, dan sebarang keputusan penting akan diumumkan oleh Menteri Komunikasi petang ini. -WILAYAHKU