Berita

Perkukuh fungsi muzium pusat ilmu

PELBAGAI program telah dirangka di muzium-muzium seluruh negara. - Gambar hiasan
- Diterbit 9 Mac 2025 4:00 PM MYT
KALENDAR Program 2025 yang dilancarkan Jabatan Muzium Malaysia (JMM) menghimpunkan pelbagai program yang memfokuskan perpaduan, budaya warisan dan sejarah sepanjang tahun ini.

Jabatan Muzium Malaysia dalam kenyataan memaklumkan kalendar tersebut dirangka dengan teliti bagi merancakkan lagi landskap permuziuman negara serta memperkukuh perananannya dalam memberi khidmat pengembangan ilmu pengetahuan.

“Program-program yang dianjurkan bertujuan untuk menggalakkan keterlibatan masyarakat menerusi aktiviti interaktif dan berinformasi.

“Antara program utama yang bakal berlangsung sepanjang tahun ini termasuk pameran bersempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, seminar bertaraf antarabangsa, Citra Nusa@Muzium, Festival Hari Muzium Antarabangsa, Fun@Muzium, seminar dan program muzium dan komuniti (outreach),” katanya.

Jelasnya sebanyak 138 program telah dirancang dan antara pecahannya adalah lapan program di bawah inisiatif Citra Nusa, lima program FUN @Muzium, sembilan buah pameran, 30 bicara/forum/seminar/persidangan, 45 program jangkauan dalam (inreach), 23 program muzium dan komuniti (outreach) serta 18 program di bawah Inspirasi Pelajar Inovasi Muzium (IPIM).

Menurutnya JMM akan mempertingkat usaha kerjasama bersama rakan-rakan strategik dalam usaha memperluas capaian serta memastikan program-program berimpak tinggi yang dilaksanakan memberi kesan positif kepada semua pihak terlibat.

“Pelaksanaan program-program ini diharap dapat memperkukuh fungsi muzium sebagai pusat ilmu dan pemeliharaan warisan selain menarik lebih ramai pengunjung ke muzium-muzium di seluruh negara.

“JMM mengalu-alukan penyertaan masyarakat dalam pelbagai program yang telah dirancang sepanjang tahun 2025 bagi bersama-sama menghayati serta menghargai sejarah dan budaya negara di samping memupuk rasa perpaduan dalam kalangan masyarakat,” katanya. – WILAYAHKU
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas