ANGKATAN Belia Islam Malaysia (ABIM) menyambut baik dan menyokong penuh pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.
Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, pembentangan Perdana Menteri mencerminkan komitmen keberanian serta tekad politik kerajaan untuk melaksanakan reformasi institusi di negara ini.
“RUU yang menjadi ibu kepada agenda Reformasi ini, yang antara lain melibatkan pindaan Perkara 56 dan Perkara 57 dengan memasukkan Fasal baharu (5A), serta pindaan Perkara 6, yang mana ia akan membuka jalan kepada pembentangan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025.
“Justeru adalah menjadi harapan bahawa RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 ini akan membuka jalan kepada reformasi-reformasi penting kelak antaranya membabitkan perjalanan sistem pilihan raya, pengasingan antara kuasa Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya, dan memperkasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk berperanan secara bebas,” ujar beliau.

Tambahnya, peruntukan tersebut dijangka memperkukuhkan institusi termasuk menambah baik pasukan penyelidikan bagi jawatankuasa-jawatankuasa Parlimen dan seterusnya meningkatkan mutu perbahasan dan memastikan penggubalan dasar dapat dilakukan secara menyeluruh.
“Kami percaya reformasi ini akan menatijahkan peningkatan kedudukan Malaysia dalam pelbagai indeks antarabangsa, bahkan ia akan menjadi satu payung untuk melindungi keluhuran demokrasi berasaskan kedaulatan suara rakyat,” ujar beliau. – WILAYAHKU