JABATAN Penjara Malaysia mengesahkan kewujudan sindiket penipuan atas talian yang menyasarkan keluarga banduan dengan modus operandi menipu mereka untuk membayar wang bagi pembelian makanan istimewa kepada prospek di dalam penjara.
Jabatan Penjara berkata sindiket ini menyamar sebagai pegawai penjara dan menggunakan pelbagai nama samaran seperti Sarjan Haziq, Sarjan Akmal, Sarjan Nazri, Sarjan Zul, Sarjan Sani dan SJN Zam bagi memperdaya ahli keluarga banduan.
“Mereka menghubungi mangsa melalui WhatsApp, menggunakan nombor telefon berbeza, dan meminta bayaran ke akaun bank tumpangan bagi tujuan yang dikatakan untuk kebajikan banduan.
“Sindiket penipuan ini juga menggunakan beberapa akaun bank tumpangan bagi transaksi wang daripada ahli keluarga atau waris prospek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, beberapa aduan telah diterima, dan laporan polis telah dibuat oleh mangsa yang terlibat.
“Jabatan Penjara Malaysia memberi jaminan akan bekerjasama rapat dengan pihak polis bagi membantu siasatan dan tidak akan berkompromi sekiranya terdapat kelemahan atau kecuaian dalam prosedur tugas,” katanya.
Jabatan Penjara turut menasihatkan orang ramai, khususnya keluarga banduan, agar tidak membuat sebarang transaksi wang kepada individu atau akaun yang tidak dikenali.
“Keluarga juga perlu segera membuat laporan polis sekiranya menerima mesej mencurigakan dan melaporkan kes ini kepada pihak institusi penjara untuk tindakan lanjut,” katanya.
Jabatan Penjara Malaysia berkata pihaknya akan terus komited dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan prospek serta keluarga mereka daripada menjadi mangsa penipuan.
“Orang ramai diminta untuk sentiasa berwaspada dan tidak terperdaya dengan taktik licik sindiket penipuan yang menyalahgunakan nama Jabatan Penjara Malaysia untuk kepentingan peribadi,” katanya.-WILAYAHKU