KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) menegaskan hanya tayar celup yang mematuhi tiga standard mandatori dibenarkan digunakan di jalan raya, selaras dengan peraturan di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan & Penggunaan) 1959.
Katanya, tiga standard yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah, Malaysian Standard (MS) 224 – Spesifikasi bagi tayar celup kenderaan penumpang dan perdagangan.
Selain itu, Peraturan United Nations (UN) R108, tayar celup untuk kenderaan penumpang dan Peraturan United Nations (UN) R109 tayar celup untuk kenderaan perdagangan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Menurut MOT, tayar celup yang tidak mematuhi piawaian dilarang digunakan kerana ia tidak melalui proses pengujian yang sah dan boleh meningkatkan risiko kemalangan, termasuk kegagalan tayar dan letupan tayar di jalan raya.
“MOT bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) untuk memperkenalkan sistem penandaan khas bagi tayar celup yang diluluskan, termasuk stamping, kod QR atau RFID untuk mengesahkan keaslian dan keselamatannya,” katanya.
MoT berkata JPJ juga akan terus memperketatkan penguatkuasaan dengan pemeriksaan di jalan raya serta pemeriksaan berkala di PUSPAKOM, khususnya bagi kenderaan perdagangan, bagi memastikan penggunaan tayar celup mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Penggunaan tayar celup yang tidak disahkan dilarang sama sekali kerana struktur dan ketahanannya tidak diuji secara menyeluruh, meningkatkan risiko kegagalan tayar dan kemalangan, termasuk kejadian tayar meletup yang boleh mengancam nyawa.
“Pengguna jalan raya digesa untuk lebih berhati-hati dalam memilih tayar celup dan hanya menggunakan tayar yang mematuhi piawaian keselamatan bagi mengelakkan risiko kemalangan,” katanya.-WILAYAHKU