Selebriti

“Saya tak takut!” – Syazani cabar diri bawa watak antagonis

- Diterbit 3 Mac 2025 11:10 AM MYT

DALAM industri hiburan yang sering dipenuhi dengan watak protagonis tipikal, Syazani Zikry tampil mencuri perhatian apabila dengan berani memilih jalan yang berbeza.

Ketika ramai pelakon baru mengelak daripada memainkan watak gelap dan antagonis, Syazani sebaliknya melihatnya sebagai peluang keemasan untuk membuktikan versatiliti dan bakatnya di layar perak.

“Saya sangat bersedia dan up for the challenge. Setakat ini, setiap watak yang saya bawa berbeza, namun masih dalam ruang protagonis.

“Saya berharap dapat lebih banyak peluang untuk membawa watak antagonis,” katanya.

Pada tahun 2023, pelakon berusia 27 tahun bersama Feisk Productions ini telah menerbitkan dan membintangi sebuah filem pendek, Pestilence bertemakan kanibalisme dan dimuat naik di YouTube.

Menurutnya, filem itu memberi peluang untuk menunjukkan sisi lakonannya yang lebih berani dan berbeza.
Sebagai peminat besar Anthony Hopkins dan genre thriller, Syazani menjadikan pelakon seperti Christian Bale sebagai inspirasi dalam membawakan watak-watak kompleks yang memukau penonton.

“Saya percaya, apabila seseorang pelakon dapat menghidupkan watak dengan begitu baik, penonton pasti akan mengingatinya,” ujarnya.

Bersedia menerima kritikan, Syazani melihat reaksi penonton sebagai satu bentuk pengiktirafan terhadap keberkesanannya dalam menghidupkan watak.

“Kritikan itu lumrah. Baik atau buruk, ia tetap memberi impak kepada mereka selepas menonton.

“Sebagai pelakon, itu bermakna saya telah berjaya melaksanakan watak tersebut dengan berkesan,” jelasnya.

Tahun 2025 menjanjikan lebih banyak peluang buat Syazani. Baru-baru ini, beliau selesai menjalani penggambaran telefilem dan drama untuk RTM dan bakal muncul dalam filem dark comedy bertajuk Angkat selepas Hari Raya.

Terdahulu filem Angkat terpilih untuk World Premiere at Blue Chair Film Festival pada 7 Disember 2024.

Beberapa projek filem dan drama lain juga dijangka akan menemui penonton tahun ini.

Mengulas mengenai cabaran mendapatkan projek di stesen televisyen tempatan, Syazani tetap optimis dengan rezeki dalam industri.

“Bila satu peluang ditolak, dua lagi akan muncul. Saya percaya dengan sokongan pemain industri, saya diberikan ruang untuk membuktikan kebolehan saya,” katanya.

Dengan keazaman yang tinggi, Syazani membuktikan dirinya bukan sekadar pelakon biasa tetapi bersedia mencipta fenomena dengan keberaniannya membawa watak yang mencabar. – WILAYAHKU

To enable full Instagram embedding experience, please add your access token by navigating to: Dashboard > EmbedPress > Settings > Sources > Instagram

==

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas