LEMBAGA Tabung Haji (TH) menandatangani Perjanjian Penerbangan Haji selama lima tahun bersama Malaysia Airlines bagi menyediakan perkhidmatan penerbangan carter haji bermula musim haji 1446H sehingga 1450H (2025-2029).
Perkhidmatan penerbangan carter haji itu akan diuruskan oleh penyedia penerbangan umrah dan haji, Amal by Malaysia Airlines.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, kerjasama berterusan itu merupakan hasil daripada prestasi cemerlang Amal by Malaysia Airlines yang telah membuktikan dedikasi dan keupayaan memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji negara.
“Kecekapan dan komitmen tinggi yang ditunjukkan dalam memastikan perjalanan haji berjalan lancar serta perhatian teliti yang diberikan terhadap keselesaan dan kesejahteraan jemaah haji negara menjadi pendorong utama pemilihan Amal by Malaysia Airlines sebagai penyedia penerbangan sewa khas haji bagi lima tahun akan datang.
“TH ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas prestasi yang memberangsangkan yang ditunjukkan oleh Amal by Malaysia Airlines dengan rekod penilaian prestasi yang cemerlang sebanyak 98 peratua pada musim haji tahun lepas,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Majlis menandatangani perjanjian diadakan di Menara Tabung Haji dan ditandatangani oleh Ketua Jabatan Haji TH, Mohd Hisham Harun bersama Ketua Pegawai Operasi Amal by Malaysia Airlines, Muhammad Najmi Mansor.
Majlis itu disaksikan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman.
Sementara itu Muhammad Najmi berkata, syarikat penerbangan itu kekal komited dalam menyediakan perkhidmatan penerbangan yang selamat dan lancar bagi memastikan jemaah dapat menunaikan ibadah haji dengan sempurna.
“Sejak penubuhan Amal pada 2019, perkhidmatan diberikan untuk menyantuni dhuyufurrahman ini menjadi matlamat utama bagi kami.
“Menguruskan perjalanan jemaah haji negara merupakan satu penghormatan yang amat kami banggakan dan kami terus komited untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan bagi memberikan pengalaman yang terbaik kepada bakal-bakal haji,” kata beliau.
Sebanyak 50 peratus daripada jumlah keseluruhan 31,600 jemaah haji Malaysia akan diterbangkan terus oleh Amal by Malaysia Airlines secara berperingkat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah dan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdulaziz, Madinah.
Penerbangan pertama ke Tanah Suci bermula dari 29 April hingga 20 Mei 2025 manakala penerbangan pulang bermula dari 14 Jun hingga 10 Julai. – WILAYAHKU