Berita

NAIO bangunkan Pelan Hala Tuju AI Kebangsaan 2026-2030

Kredit: BERNAMA
- Diterbit 27 Februari 2025 5:00 PM MYT

PEJABAT Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan (NAIO) kini dalam proses membangunkan Pelan Hala Tuju AI Kebangsaan 2026-2030 sebagai kesinambungan kepada strategi kecerdasan buatan (AI) negara.

Menurut Menteri Digital, Gobind Singh Deo, langkah ini bertujuan memastikan pembangunan AI di Malaysia bergerak secara terarah serta mengelakkan pertindihan antara kementerian dan agensi kerajaan serta sedar kepentingan AI sebagai penggerak utama teknologi masa kini, dengan impak besar terhadap pelbagai sektor ekonomi.

“Malaysia sedang mengambil langkah proaktif dalam ekosistem AI. Dengan pelan hala tuju baharu ini, kami ingin memastikan teknologi ini dimanfaatkan sepenuhnya bagi membangunkan masyarakat digital, ekonomi digital, dan kerajaan digital.

“Oleh itu, tindakan agresif sedang diambil bagi memastikan negara bersedia menghadapi perubahan teknologi, termasuk pengukuhan infrastruktur digital dan bakat tempatan dalam bidang ini,” katanya dalam sesi pertanyaan ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Amiruddin Shaari (PH-Gombak) di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Gobind, kerajaan sebelum ini telah melaksanakan Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan 2021-2025 untuk menyediakan strategi pembangunan AI.

“Untuk fasa baharu 2026-2030, lima aspek utama akan diberi penekanan iaitu tadbir urus AI melibatkan pembangunan ekosistem AI yang teratur merangkumi semua sektor ekonomi, penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang memberikan fokus kepada inovasi dan aplikasi AI dalam sektor utama serta Infrastruktur Digital bagi menyokong teknologi baharu seperti Generative AI.

“Selain itu, ia turut merangkumi Bakat AI yang menyasarkan pembangunan tenaga kerja tempatan yang mahir dalam AI, sekaligus memastikan rakyat memahami teknologi ini untuk meningkatkan taraf hidup dan peningkatan kesedaran AI bagi mempromosikan penggunaan AI dalam sektor awam dan swasta bagi mempercepatkan penerimaan teknologi ini dalam ekonomi negara,” katanya.

Gobind berkata sebagai sebahagian daripada usaha memperkasakan penggunaan AI dalam sektor awam, Kementerian Digital melalui NAIO telah melancarkan inisiatif ‘AI at Work 2.0’ dengan kerjasama Google.

“Program ini memberi akses kepada 445,000 penjawat awam terhadap Google Workspace, termasuk teknologi Gemini dan NotebookLM.

“Inisiatif ini adalah kesinambungan kepada projek perintis terdahulu yang melibatkan 270 penjawat awam, di mana 97% peserta melaporkan penjimatan masa sebanyak 3.25 jam seminggu, manakala 91 peratus menyatakan AI generatif meningkatkan kualiti kerja mereka,” katanya.

Gobind turut memaklumkan bagi memastikan AI digunakan secara bertanggungjawab dalam sektor kerajaan, Jabatan Digital Negara (JDN) telah membangunkan Garis Panduan Pengadaptasian AI Sektor Awam, yang dijadualkan dilancarkan pada hari ini.

“Garis panduan ini bertujuan mengawal selia penggunaan AI secara beretika dan berkesan dalam perkhidmatan awam untuk menambah baik kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan dan memperkukuh ketepatan dalam pembuatan keputusan, serta mengoptimumkan pengurusan sumber dan keselamatan awam,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas