GABUNGAN Kelab Media Malaysia (GKMM) berkata Rang Undang-Undang (RRU) Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 yang diluluskan oleh Dewan Rakyat semalam meningkatkan lagi profesion kewartawanan negara.
Presidennya, Mohamad Fauzi Ishak berkata sememangnya kelulusan RUU Majlis Media Malaysia menjadi hal yang dinanti oleh seluruh pengamal media di dalam negara.
“Ini dalam usaha untuk mengangkat martabat profesion kewartawanan negara.
“Tahniah kepada semua Ahli-ahli Parlimen yang menyokong dan meluluskan RUU Majlis Media Malaysia 2024,” katanya.
Mengulas lanjut, Fauzi berkata masa depan industri media itu sendiri akan terus kekal berdaya saing dan kompetetif, seiring dengan kepesatan dunia digital hari ini.

Katanya, pelbagai isu kebajikan yang melingkari dan membelenggu warga pengamal media sejak mutakhir ini akan dapat diambil perhatian dan tindakan segera sekali gus ditangani sebaiknya.
“Penubuhan Majlis Media Malaysia ini secara langsung akan membuka ruang serta platform di mana seluruh pengamal media, industri media serta kerajaan dapat duduk bersama, berbincang dan mencari solusi, disamping merangka hala tuju untuk masa depan dunia kewartawanan di Malaysia.
“GKMM menaruh harapan agar kerajaan meletakkan keutamaan dari segi penglibatan dan penyertaan penuh daripada kalangan warga media dalam Majlis Media Malaysia, terutama dalam membuat dan menentukan keputusan penting yang menyentuh hala tuju dan masa depan industri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Fauzi turut merakamkan penghargaan khusus juga diberikan kepada Kementerian Komunikasi terutama Menterinya, Fahmi Fadzil serta timbalannya, Teo Nie Ching atas komitmen dan kesungguhan mereka berdua dalam memastikan RUU ini akhirnya dibentang dan diluluskan dengan jayanya di Dewan Rakyat.
Semalam, RUU Majlis Media Malaysia 2024 diluluskan oleh Dewan Rakyat selepas 50 tahun penubuhannya dibincangkan.
RUU yang bertujuan, antara lain menubuhkan badan kawal selia kendiri bagi menjaga kepentingan media dan pengamal media itu mendapat sokongan majoriti selepas dibahas 18 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
RUU MMM 2024 yang mengandungi 23 Fasal itu dibentangkan Nie Ching untuk bacaan kali pertama pada 12 Disember tahun lalu.
Ketika membentangkan RUU MMM 2024 untuk bacaan kali kedua semalam Nie Ching berkata RUU itu digubal dengan hasrat industri media untuk menubuhkan sebuah badan yang akan memperkukuh tadbir urus media di Malaysia.
Katanya, cadangan penubuhan satu jawatankuasa atau organisasi bagi menyelaras tadbir urus industri media di Malaysia dicetuskan sejak 1973 oleh Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan sejak itu, kerajaan menerima pelbagai cadangan berbentuk serupa daripada industri media.
Bagaimanapun, Memorandum Jemaah Menteri (MJM) untuk menubuhkan MMM hanya dikemukakan kepada Jemaah Menteri pada 6 Disember 2019 oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu, Gobind Singh Deo dan diluluskan.
Nie Ching memaklumkan, pada awal 2023, sesi libat urus dimulakan di bawah Menteri Komunikasi, Fahmi dengan Jawatankuasa Protem MMM, sehingga mampu dibentangkan di Dewan Rakyat. – WILAYAHKU