PENGENDALI Pelabuhan Labuan Megah Port Management (MPM) Sdn Bhd komited memperkukuh dengan menjalinkan hubungan kerjasama dengan agensi kerajaan.
Menurut Pengarah Urusan MPM Datuk Seri Patrick Tiong, pihaknya secara aktif berkolaborasi dengan pelbagai pihak berkuasa meningkatkan standard dalam operasi maritim, keselamatan dan kelestarian alam sekitar.
Katanya, dengan kerjasama yang kukuh mampu memastikan aktiviti pelabuhan dan operasi kargo berjalan dengan lancar, cekap dan mematuhi keperluan kawal selia yang ketat.
“Ini seiring dengan pelarasan operasi dengan peraturan nasional dan antarabangsa dalam pertumbuhan ekonomi serantau,”katanya dalam ucapan pada majlis Ramah Mesra Bersama Agensi Kerajaan, hari ini.
Beliau turut mengakui peranan agensi dalam membantu mengharungi lanskap industri maritim yang sentiasa berkembang.
Pihaknya secara proaktif melaksanakan dasar dengan rangka kerja kawal selia yang ditetapkan selaras dengan komitmen syarikatnya.
Jelasnya, MPM akan terus melabur dalam infrastruktur dan teknologi terkini untuk meningkatkan lagi kecekapan serta mengoptimumkan proses pengendalian kargo dan meminimumkan masa pusing balik kapal.
“Ia sekaligus menyokong cita-cita ekonomi dan perdagangan Malaysia yang lebih luas serta mengukuhkan daya saing Labuan sebagai hab Maritim.
“Selain itu, MPM terus berdedikasi untuk mengukuhkan dengan pihak berkepentingan industri untuk menangani cabaran dalam sektor maritim dan logistik,”katanya. -WILAYAHKU.