TUJUH kes kematian kanak-kanak dilaporkan berlaku di taman asuhan kanak-kanak (taska) dari 2021 hingga 2024, kerana pengabaian dan kecuaian.
Ia melibatkan satu kes masing-masing pada 2021, 2022 dan 2023 serta empat kes pada 2024. Ke semua kes berlaku di taska tidak berdaftar.
Sehubungan itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sentiasa mengambil insiatif berterusan dalam usaha mengurangkan risiko berlakunya kes membabitkan kecuaian, pengabaian dan penderaan kanak-kanak di taska.
Terbaru Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah telah mengambil tindakan Lak (sealed) ke atas sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) tidak berlesen di Bandar Saujan Putra, Selangor susulan kematian bayi berusia empat bulan pada 3 Januari lalu.
Ia selaras dengan peruntukan Seksyen 6 (1) Akta 308 kerana beroperasi tanpa perakuan pendaftaran.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWK), Datuk Seri Nancy Shukri, menyarankan ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke taska yang berdaftar dengan menyemak status pendaftaran menerusi laman web rasmi JKM.
“Bermula 10 Januari, semua taska berdaftar diwajibkan mempamerkan plak pendaftaran bagi memudahkan urusan ibu bapa memilih pusat asuhan.
“Plak ini mempunyai QR Code yang boleh diimbas untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai pendaftaran taska dengan JKM,” katanya yang menjawab pertanyaan Rodiyah Sapiee (Batang Sadong) mengenai trend dan jumlah kes kematian kanak-kanak di taska sejak 2021.
Rodiyah turut meminta pandangan KPWK berhubung insiden bayi berusia empat bulan yang meninggal dunia di sebuah taska tidak berlesen pada Januari lalu.
Nancy menambah, KPWKM memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk ibu bapa mahupun orang awam, untuk bersama-sama memainkan peranan dalam memastikan keselamatan kanak-kanak di taska terjamin. -WILAYAHKU