Berita

LRT3 dijadual beroperasi 30 September ini

NOTIS penutupan jalan dikeluarkan oleh pihak LRT3, MRCB dan JKR pada 27 Mac lepas.
- Diterbit 27 Februari 2025 10:00 AM MYT

OPERASI Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang menghubungkan Bandar Utama dan Johan Setia dijadual beroperasi pada 30 September ini.

Menurut Kementerian Pengangkutan (MOT), ini selepas projek tersebut diserahkan sepenuhnya kepada pihak Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) oleh kontraktor utama pada 31 Julai.

“Status terkini kemajuan projek LRT3 adalah 98.16 peratus.

“Ujian pengoperasian tren tanpa penumpang akan dilakukan dalam dua peringkat bagi memastikan perkhidmatan LRT3 selamat kepada penumpang,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

MOT menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai status terkini pencapaian pelaksanaan projek LRT3, rancangan tempoh trial run tanpa penumpang dan sasaran siap beroperasi sepenuhnya.

MOT memberitahu, dua ujian yang dijalankan itu merangkumi pematuhan, ketahanan serta keselamatan sistem kereta api dan prosedur operasi standard (SOP).

Ia katanya, melibatkan trial run (TR) yang akan dijalankan serentak dengan ujian fault free run (FFR) oleh pihak kontraktor utama iaitu Setia Utama LRT3 Sdn Bhd.

“Anggaran tempoh pengujian adalah selama 75 hari. Keputusan ujian FFR ini akan dinilai oleh pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berdasarkan aspek-aspek keselamatan, pematuhan standard dan jaminan sistem kereta api yang tertentu.

“Ujian TR/FFR ini dijangka bermula pada pertengahan April ini dan selesai pada akhir Jun,” katanya.

Jelas MOT, selain itu trial operation (TO) oleh pihak pengendali berlesen kereta api iaitu Rapid Rail Sdn Bhd dengan bantuan teknikal oleh pihak kontraktor utama dijalankan sebaik sahaja selesai ujian-ujian TR dan FFR serta kelulusan ujian FFR oleh pihak APAD.

Katanya, anggaran tempoh pengujian ini adalah selama 60 hari dan dijangka bermula pada Julai ini serta selesai pada akhir Ogos. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas