YAYASAN Peneraju mensasarkan untuk melahirkan 100,000 profesional Bumiputera bertauliah dalam jurusan kewangan, teknikal dan teknologi menjelang 2030.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata sasaran yang dipercepatkan itu selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan memberi tumpuan dalam bidang utama termasuk sektor digital, kejuruteraan perisian, reka bentuk semikonduktor dan keselamatan siber.
“Bermula tahun ini kita meningkatkan sasaran hampir tiga kali ganda untuk melahirkan profesional Bumiputera bertauliah. Kalau untuk jurusan perakaunan, setiap tahun hanya 700. Tahun ini 2,000.
“Untuk lepasan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) jika sebelum ini penyertaan 500, tahun ini kita sasar seramai 1,500 orang. Begitu juga dengan teknologi, kita akan meningkatkannya kepada 5,000 setahun berbanding dengan sebelum ini 3,000 hingga 4,000 untuk 10 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran skim pembiayaan fleksibel baharu Yayasan Peneraju.
Sementara itu Rafizi berkata kerajaan menyediakan peruntukan tahunan berjumlah RM150 juta kepada Yayasan Peneraju untuk melahirkan profesional Bumiputera dalam pelbagai bidang.
“Secara purata Yayasan Peneraju dalam tahun biasa mendapat sekitar RM150 juta pembiayaan setiap tahun.
“Sebelum ini RM150 juta hanya boleh ambil 500 orang pelajar dan 1,000 hingga 2,000 bidang teknologi. Kita naikkan RM150 juta supaya boleh capai 3,000 hingga 4,000 (penyertaan).
Sementara itu, Ketua Eksekutif Yayasan Peneraju, Ibrahim Sani berkata skim pembiayaan itu membolehkan penguasaan ekonomi dapat dirasai menerusi pembiayaan pendidikan langsung kepada penerima manfaat dan bakat-bakat Bumiputera.
Beliau berkata pengambilan pertama memfokuskan kepada golongan dewasa yang bekerja dan tidak bekerja, dengan sasaran seramai 7,200 pendaftaran.
Skim baharu itu menawarkan tiga pilihan fleksibel iaitu Emas, Perak dan Platinum kepada pemohon yang layak.
Skim pembiayaan terkini Yayasan Peneraju itu terbuka kepada warganegara Bumiputera Malaysia berusia 16 tahun ke atas, dengan surat tawaran yang sah atau bukti pendaftaran daripada Institusi Pembelajaran & Latihan yang Diluluskan Yayasan Peneraju (ALTIs).
Tiga pilihan fleksibel merangkumi Silver yang menawarkan pembiayaan sehingga RM15,000; Gold sehingga RM30,000; dan Platinum (sehingga RM150,000).
Bagi pakej Silver, penerima tidak perlu membuat pembayaran balik, manakala pakej Gold perlu bayar semula 50 peratus dari pembiayaan dan Platinum sebanyak 20 peratus.
Hanya pakej Gold dan Platinum membolehkan peserta membuat pembiayaan semula.
Skim pembiayaan itu juga akan diperluaskan kemudian untuk merangkumi kumpulan sasaran yang lebih luas, termasuk pensijilan dalam bidang perakaunan, perkhidmatan perniagaan dan kewangan, bagi memastikan lebih banyak peluang peningkatan kemahiran sepanjang tahun. – WILAYAHKU