ORANG ranmai yang mempunyai maklumat atau golongan peniaga yang ditawarkan pihak tertentu untuk membeli tapak lesen Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri dengan harga tertentu boleh melaporkan kepada polis supaya siasatan boleh dijalankan.
Jaminan itu disuarakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa ketika diminta mengulas mengenai aktiviti berkenaan yang dilakukan menerusi kumpulan whatsapp yang menyasarkan golongan peniaga dengan niat untuk mengaut keuntungan atas angin.
Jelas Zaliha, pihaknya turut membuka peluang seluas-luasnya kepada orang awam untuk mengajukan aduan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya proses siasatan dapat dijalankan.
“Sila kemukakan laporan kalau ada kepada kita (DBKL) pun boleh, kepada polis pun boleh, kerana kita juga ada KL Strike Force yang bekerjasama dengan agensi-agensi penguantkuasaan yang lain supaya tindakan yang tegas boleh diambil dengan segera sekiranya ianya benar berlaku.
“Orang ramai diseru bekerjasama dengan kita jika betul mengetahui tentang perkara-perkara sebegini boleh kemukakan aduan tersebut kepada pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi sidang media selepas Media Brief Bazar Ramadan & Aidilfitri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di ibu negara pada Rabu.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) Datuk Noridah Abdul Rahim dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.
Beliau berkata sehingga kini DBKL tidak mendapat laporan daripada mana-mana pihak dan individu berhubung dakwaan yang mengatakan wujud aktiviti menjual semula petak bazar dan lesen perniagaan yang telah diberikan kepada pemohon.
“Setakat ini DBKL memang tidak menerima aduan mengenai perkara itu, tetapi jika ada aduan dan kita dapati benar berlaku kita akan mengambil tindakan yang tegas kepada kedua-dua, iaitu pemberi lesen dan menerima lesen dengan cara yang tidak betul,” katanya. -WILAYAHKU