Berita

Wanita perlu imbang tanggungjawab kerjaya, kehidupan berkeluarga – Wan Azizah

Foto: Dr Wan Azizah Wan Ismail
- Diterbit 26 Februari 2025 1:00 PM MYT

INSTITUSI keluarga kini menghadapi cabaran yang lebih kompleks dibawa oleh pelbagai faktor seperti kemajuan teknologi, kepesatan penggunaan media sosial,

perubahan ekonomi dan sebagainya lebih-lebih lagi selepas dunia diuji dengan pandemik COVID-19.

Cabaran-cabaran ini membawa kepada perubahan nilai sosial yang telah mengubah dinamik keluarga dan kesannya lebih lagi buat wanita bekerjaya.

Justeru, Pengerusi KASIH Malaysia, Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail berkata, peranan dan tanggungjawab sebagai seorang ibu perlu sentiasa diutamakan walau sesibuk manapun kita bekerja.

“Wanita seharusnya mampu menjadi ‘role model’, sumber inspirasi dan juga pembimbing dalam sesebuah institusi keluarga.

“Wanitalah pendokong utama suami dalam setiap keadaan sama ada susah ataupun senang. Seorang ibu juga seharusnya mampu menjadi contoh yang baik buat anak-anak,” katanya dalam ucaptama Karnival Wanita MADANI 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Dalam masa sama, beliau percaya wanita memainkan peranan penting dalam memupuk hubungan kekeluargaan yang kukuh, sama ada kita sedar ataupun tidak.

“Walau sesibuk mana pun kita, sediakanlah masa berkualiti untuk bersama keluarga. Ambillah masa untuk berbual dengan anak-anak, beriadah dan lakukan aktiviti yang bermanfaat bersama keluarga.

“Saya telah diberi topik mengimbangi tanggungjawab kerjaya dan kehidupan berkeluarga dalam konteks seorang wanita. Namun, jangan dilupa peranan dan
tanggungjawab seorang lelaki atau suami. Suami sebagai lelaki Qawwam perlu memahami, bertolak ansur dan membantu dalam tugasan rumah tangga
lebih-lebih lagi jika isteri juga bekerja. Keluarga merupakan tanggungjawab bersama, shared responsibility,” katanya.

Karnival Wanita MADANI 2025 diadakan bertujuan untuk membentuk wanita yang berdaya saing dari segi ekonomi, sosial, pendidikan dan kesihatan dalam usaha melahirkan masyarakat yang harmoni dan progresif.

Program tersebut merupakan satu inisiatif bagi memperkasa wanita Malaysia dalam pelbagai aspek kehidupan, sejajar dengan konsep MADANI yang menekankan prinsip keadilan, kesaksamaan dan kesejahteraan untuk semua.

Bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, karnival yang bertemakan ‘Wanita MADANI: Tonggak Keunggulan Keluarga dan Pencetus Generasi Gemilang’ itu dihadiri 500 orang peserta terdiri daripada kakitangan kerajaan wanita, pimpinan dan ahli badan bukan kerajaan wanita pelbagai latar belakang dari seluruh negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas