Berita

Isu Beting Patinggi Ali: Tiada rundingan diplomatik dengan China

BETING Patinggi Ali
- Diterbit 26 Februari 2025 12:30 PM MYT

TIADA status rundingan diplomatik dengan China berhubung isu Beting Patinggi Ali memandangkan ia berada dalam kawasan maritim negara berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.

Malah Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, Malaysia tidak pernah mengiktiraf apa-apa tuntutan China di Laut China Selatan.

Ini katanya, membabitkan Peta 9-Garis, konsep Empat-Sha atau mana-mana peta yang diterbitkan oleh kerajaan China yang meliputi kawasan maritim Malaysia.

“Kerajaan sentiasa mengambil berat akan keselamatan perairan negara di Laut China Selatan termasuk di kawasan Beting Patinggi Ali.

“Kerajaan sentiasa memantau rapat sebarang perkembangan dan situasi semasa di kawasan dengan keterlibatan dan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan isu tersebut ditangani dengan segera dan efisien tanpa menimbulkan sebarang ketegangan di lapangan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

BETING Patinggi Ali

Beliau menjawab soalan status rundingan diplomatik terkini dengan negara China berkenaan isu Beting Patinggi Ali.

Mohamad berkata, pendekatan kerajaan ini dilaksanakan melalui mekanisme whole of government untuk menyelaras tindakan-tindakan yang diambil bagi menjamin keselamatan perairan Malaysia.

Setiap agensi kerajaan katanya, memainkan peranan masing-masing untuk memastikan kepentingan negara sentiasa dipertahankan.

“Kerajaan Malaysia menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sentiasa memberikan perhatian serius terhadap keselamatan di kawasan perairan negara.

“Tindakan-tindakan yang diambil termasuklah rondaan, pengawasan, pemantauan dan penguatkuasaan berterusan di dalam kawasan maritim Malaysia bagi mempamerkan kehadiran di kawasan tersebut,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas