BAGI memastikan gaji minimum pekerja dapat dinaikkan dalam tempoh lima tahun akan datang, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) akan melaksanakan kajian semula Perintah Gaji Minimum secara berkala.
KESUMA menjelaskan kajian semula ini dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh dua tahun, selaras dengan keperluan di
bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732].
“Proses kajian ini melibatkan penilaian indikator ekonomi semasa mengambil kira
indikator asas seperti Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dan penengah
gaji, serta indikator penyelaras seperti produktiviti buruh, kadar
pengangguran, dan Indeks Harga Pengguna (IHP).
“Di samping itu, sesi libat urus dengan pemegang taruh dalam kalangan wakil pekerja, majikan, dan pihak berkepentingan lain dilaksanakan untuk mendapatkan pandangan dan
maklum balas berkenaan impak Perintah Gaji Minimum yang telah
dilaksanakan.
“MPGN dianggotai oleh wakil Kementerian Kewangan, Kementerian
Ekonomi, Unit Perancangan Ekonomi Sarawak, Kementerian Sains,
Teknologi dan Inovasi Sabah, wakil majikan seperti Malaysian Employers
Federation (MEF), wakil pekerja daripada kesatuan-kesatuan sekerja dan
pakar-pakar ekonomi,” ujarnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Kementerian itu menjawab soalan berkenaan langkah masa depan kerajaan untuk
memastikan gaji minimum pekerja dalam tempoh lima tahun akan datang
dapat dinaikkan dari RM1,700 sebulan sekarang kepada tahap kadar
kemiskinan negara iaitu RM2,208 sebulan.
Jelasnya, melalui Perintah Gaji Minimum 2024, gaji minimum RM1,700 sebulan
adalah gaji pokok individu bagi memastikan pekerja dan keluarga dapat
memenuhi keperluan asas.
“Manakala, berdasarkan Jabatan Perangkaan
Malaysia (DOSM), Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) merujuk kepada
kemiskinan mutlak isi rumah yang merangkumi PGK makanan dan PGK
bukan makanan.
“Kadar PGK terkini iaitu pada tahun 2022 adalah RM2,589
sebulan. Sehubungan itu, gaji minimum tidak boleh dibandingkan dengan
PGK. Walau bagaimanapun, dalam penentuan gaji minimum, PGK
merupakan salah satu indikator utama,” ujarnya.
Tambahnya, berdasarkan pelaksanaan enam Perintah Gaji Minimum yang lepas, gaji minimum telah meningkat secara purata pada kadar antara 5 peratus (%) hingga 6% setahun bergantung kepada kadar semasa indikator ekonomi
yang digunakan dalam formula penetapan gaji minimum. – WILAYAHKU