PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong usaha menghidupkan semula Pusat Beli Belah Alamanda di Putrajaya supaya menjadi mercu tanda utama sebagaimana statusnya ketika mula beroperasi lebih dua dekad lalu.
Beliau berkata usaha itu bukan sekadar merancakkan sosioekonomi dan menambah keceriaan, tetapi juga menyediakan kemudahan riadah untuk kesejahteraan keluarga dan anak-anak, selaras dengan teras Madani.
“Dalam ucaptama, saya berkongsi pemerhatian tatkala mengadakan lawatan kerja ke beberapa negara dan menyaksikan kesungguhan dalam membicarakan soal teknologi baharu, transformasi digital, kecerdasan buatan (AI), peralihan tenaga dan seumpamanya.
“Ini juga adalah pendekatan yang diperkenalkan Kerajaan Madani hingga menarik perhatian deretan pemimpin dunia untuk bekerjasama dengan Malaysia dan mengembangkan pelaburan serta perdagangan,” katanya di Facebook.
Menurut Anwar, kerjasama itu telah membawa masuk pelaburan besar ke Malaysia daripada syarikat gergasi dunia seperti Google, Microsoft, Amazon Web Services dan Oracle.
Katanya, ini sekali gus membuktikan keyakinan pelabur terhadap negara, menyangkal tohmahan yang mempertikaikan keberkesanan usaha Kerajaan Madani membangunkan ekonomi negara.
“Malaysia punyai potensi besar, tetapi ia sukar direalisasikan jika rakyat dan pemimpinnya terperangkap dalam pertelingkahan remeh, atau diperalat untuk mempertahan orang-orang korup yang mengaut ratusan juta tatkala berkuasa.
“Jika mahu bergerak ke hadapan, kita harus mengangkat wacana segar yang mencetuskan idea bernas untuk membangunkan negara, ketimbang isu titik bengik yang membakar kebencian dan prasangka antara kaum dan agama.
“Ramadan ini adalah peluang untuk kita bermuhasabah dan mendidik diri dengan disiplin, ihsan dan kasih sayang. Semoga kita terus melangkah ke hadapan dengan tekad yang lebih besar,” katanya. – WILAYAHKU