PEMERIKSAAN kesihatan secara berkala amat digalakkan bagi menangani penyakit kanser dalam kalangan masyarakat.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail berkata, kesedaran dan pengetahuan mengenai penyakit kanser amat penting bukan sahaja kepada golongan wanita tetapi juga lelaki.
“Masyarakat perlu lebih bertanggungjawab terhadap kesihatan mereka dengan menjalani pemeriksaan kesihatan berkala, mengamalkan diet seimbang dan gaya hidup aktif kerana penyakit kanser sering dikaitkan dengan faktor gaya hidup terutama pemakanan tidak sihat dan gaya hidup kurang aktif.
“Pemakanan mengandungi banyak makanan diproses, gula dan lemak tidak sihat yang mana boleh meningkatkan risiko untuk menghidap penyakit kanser,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Kesihatan MADANI 2025 hari ini.
Beliau berkata Hari Kanser Sedunia yang diraikan pada 4 Februari setiap tahun bertujuan untuk meningkatkan kesedaran serta mengajak orang ramai untuk mengambil bahagian dalam usaha mencegah dan membendung penyakit yang kian meningkat.
“Kanser bukan sahaja memberi kesan negatif kepada pesakit, tetapi ia turut memberi kesan negatif terhadap psikososial, ekonomi keluarga serta pembangunan ekonomi negara.
“Pengesanan awal serta rawatan yang cepat dan berkesan memberi peluang yang baik kepada pesakit untuk sembuh,” katanya menyokong usaha yang dilakukan Pejabat Kesihatan Cheras dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk Sub Zon 5, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) KAMARA menerusi penganjuran program kesedaran kesihatan itu.
Dalam masa sama, beliau turut menyeru orang ramai untuk menjadikan pencegahan kanser sebagai salah satu agenda mengamalkan gaya hidup sihat.
“Segera menemui doktor bagi mendapatkan nasihat dan pemeriksaan lanjut sekiranya mempunyai tanda dan gejala kanser, jalani ujian saringan kanser yang telah disediakan dan dapatkan rawatan yang terbukti berkesan di hospital sekiranya disahkan menghidap kanser selain sentiasa patuh dengan jadual rawatan yang diberikan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan yang telah memberikan komitmen untuk hadir dalam program pada hari ini. Saya yakin program yang dilakukan ini dapat memberi manfaat untuk kesihatan dan kesejahteraan semua,” katanya. – WILAYAHKU