SEMPENA Hari Paus Sedunia, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menekankan kepentingan pemuliharaan paus dan mamalia marin lain bagi memastikan keseimbangan ekosistem laut negara.
Jabatan Perikanan Malaysia memberitahu walaupun kehadiran paus di perairan Malaysia bukanlah sesuatu yang luar biasa, mamalia ini memainkan peranan penting dalam mengekalkan kelestarian biodiversiti marin serta menjadi indikator kepada kesihatan ekosistem laut.
“Paus bungkuk (Humpback Whale) dari kawasan barat laut Lautan Pasifik, misalnya, berkemungkinan melintasi perairan Malaysia dalam perjalanan ke kawasan pembiakan yang lebih panas.
“Perairan tropika juga menjadi lokasi sesuai bagi anak paus yang baru lahir kerana mereka masih belum memiliki lapisan lemak yang mencukupi untuk bertahan di perairan sejuk,” ujarnya dalam kenyataan media.
Tambahnya, walaupun kehadiran paus merupakan petanda positif kepada ekosistem laut, beberapa ancaman perlu diberi perhatian.
“Paus berisiko terperangkap di kawasan perairan cetek, sekali gus
menyukarkan mereka kembali ke lautan dalam. Selain itu, gangguan manusia seperti pergerakan kapal dan pencemaran bunyi boleh menjejaskan tingkah laku semula jadi spesies ini.
“Dari segi keselamatan manusia, saiz paus yang besar boleh menyebabkan risiko kecederaan sekiranya dihampiri terlalu dekat, selain berpotensi merosakkan bot atau kapal kecil akibat tindak balas defensif.
“Salah satu isu yang sering dikaitkan dengan paus ialah ambergris, atau lebih dikenali sebagai muntah paus, yang merupakan bahan berharga dan hanya dihasilkan oleh paus sperma (Sperm Whale). Permintaan tinggi terhadap bahan ini telah mengakibatkan ancaman pemburuan haram,” ujarnya.
Tegasnya, Di Malaysia, perlindungan terhadap paus diperuntukkan di bawah Seksyen 27 Akta Perikanan 1985 yang melarang sebarang gangguan, penangkapan, pemilikan atau penjualan paus tanpa kebenaran bertulis Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
“Selain itu, Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686) menetapkan keperluan permit CITES untuk perdagangan bahagian atau produk paus.
“DOF turut menyeru masyarakat untuk bersama-sama memelihara populasi paus dan mamalia marin lain dengan mematuhi undang-undang, mengelakkan pencemaran plastik, serta menyokong usaha pemuliharaan yang dijalankan oleh kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), universiti dan komuniti setempat.
“Sempena Hari Paus Sedunia, marilah kita bersama-sama memastikan
khazanah laut negara terus terpelihara demi generasi akan datang,” katanya. – WILAYAHKU