KERAJAAN menegaskan bahawa tiada arahan dikeluarkan bagi
penamatan kontrak secara besar-besaran terhadap pegawai yang tidak
memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menjelaskan, pengurusan kontrak pegawai lantikan
Contract of Service (CoS) adalah berdasarkan keperluan semasa
perkhidmatan serta persetujuan kedua-dua pihak.
“Sehingga 13 Februari 2025, JPA telah menerima sebanyak 108
permohonan daripada pelbagai agensi untuk kelonggaran syarat skim
perkhidmatan bagi melantik semula pegawai kontrak yang tidak memiliki
SPM, susulan daripada pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan
Awam (SSPA).
“Daripada jumlah ini, 83 permohonan telah diluluskan,
manakala 25 permohonan tidak dapat dipertimbangkan kerana
pegawai masih dalam tempoh kontrak atau lantikan sebelum ini
yang didapati tidak teratur.
“Ini menunjukkan kesungguhan kerajaan
dalam menangani isu ini secara inklusif dan bertimbang rasa,” ujar JPA dalam kenyataan.
Terdahulu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dalam kenyataan media bertarikh 12 Februari 2025 meminta kerajaan meluahkan kebimbangan penamatan kontrak 30,000 kakitangan yang tidak memiliki SPM.
Tambahnya, kerajaan sentiasa terbuka untuk berbincang dengan semua pihak,
termasuk CUEPACS, bagi mencari penyelesaian terbaik yang adil
kepada semua pihak yang terlibat.
“Keutamaan kerajaan adalah memastikan tenaga kerja dalam Perkhidmatan Awam diselaraskan dengan keperluan semasa, sambil memastikan kebajikan pegawai
kontrak terus dijaga.
“Justeru, JPA ingin menegaskan bahawa dakwaan mengenai
penamatan kontrak 30,000 kakitangan adalah tidak tepat. Segala
keputusan berkaitan pelantikan dan pengurusan kontrak dibuat dengan
penuh pertimbangan berdasarkan keperluan perkhidmatan serta dasar
kerajaan yang sedia ada,” ujarnya. – WILAYAHKU