PERTUKARAN Lesen Memandu Percubaan (PDL) kepada Lesen Memandu Kompeten (CDL) boleh dilakukan secara digital melalui aplikasi MyJPJ bermula esok.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli, pengenalan fungsi baharu itu bertujuan memudahkan orang ramai membuat permohonan CDL secara dalam talian tanpa perlu hadir ke kaunter JPJ.
“Fungsi baharu permohonan CDL melalui aplikasi MyJPJ mempunyai kelebihan seperti mudah dan cepat, proses permohonan CDL menjadi lebih mudah dan cepat dengan hanya beberapa langkah di aplikasi MyJPJ.
“Pemohon tidak perlu lagi meluangkan masa untuk pergi ke kaunter JPJ, dan permohonan boleh dibuat pada bila-bila masa dan di mana sahaja,” katanya dalam kenyataan pada Ahamd.
Jelas beliau, menerusi fungsi baharu tersebut, seramai 2,383,043 pemegang lesen PDL boleh melaksanakan permohonan CDL melalui aplikasi MyJPJ pada bila-bila masa dan di mana sahaja menerusi telefon pintar mereka.
“Aplikasi MyJPJ direka dengan antara muka yang mesra pengguna, memudahkan semua golongan menggunakan fungsi baharu ini,” katanya.
Ujar Aedy, pihaknya berharap inisiatif ini akan mempermudahkan urusan pemilikan Lesen Memandu Malaysia (LMM) secara digital tanpa mengambil masa yang lama, seterusnya menjadi salah satu usaha JPJ untuk mengurangkan kesesakan kaunter.
“Pihak JPJ sentiasa komited untuk meningkatkan kualiti dan mutu penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.-WILAYAHKU