Berita

Kepengerusian ASEAN 2025: Kerjasama rentas sempadan

- Diterbit 7 Februari 2025 3:37 PM MYT

MALAYSIA perlu mengambil inisiatif untuk memperkenalkan dasar pemulihan pelancongan yang lebih menyeluruh dan diselaraskan antara negara anggota ASEAN dari segi protokol keselamatan dan kesihatan serantau demi memastikan pelancong lebih yakin melancong ke ASEAN.

Menurut Pensyarah Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hazrin Izwan Che Haron@Shafiee, pada waktu inilah Malaysia menggunakan peluang sebagai Pengerusi ASEAN dalam Pemulihan Pelancongan.

“Malaysia harus merapatkan kerjasama antara negara jiran, dengan memperkasakan pembangunan pakej pelancongan Multi-Destinasi ASEAN seperti Malaysia–Thailand–Vietnam atau Malaysia–Indonesia–Brunei, bagi menarik lebih ramai pelancong antarabangsa ke Malaysia.

“Selain itu, perlu merancang insentif khas seperti harga tiket penerbangan lebih murah atau diskaun hotel untuk program pemasaran pelancong kepada negara ASEAN yang merancang untuk melancong ke Malaysia,” ujarnya kepada Wilayahku.

Beliau yang juga pakar dalam bidang pelancongan berkata, negara perlu mengukuhkan kedudukan sebagai hab pelancongan mesra Muslim dengan memperkenalkan lebih banyak inisiatif serta produk halal pelancongan kepada negara ASEAN terutamanya negara yang mempunyai pelancong Muslim.

Ujarnya, antara lain adalah dengan mewujudkan laluan pelancongan halal yang merangkumi destinasi popular di Malaysia bagi pelancong Muslim di ASEAN seperti Indonesia, Brunei dan Selatan Thailand.

“Malaysia harus mengambil peluang ini dengan menarik lebih banyak pelaburan asing ASEAN dalam sektor pelancongan, seperti pembangunan hotel baharu, taman tema dan pusat peranginan,” katanya.

Tambahnya, pelbagai strategi untuk meningkatkan pelancongan serantau juga boleh dilaksanakan dengan pembangunan produk pelancongan bersama antara negara ASEAN.

“Dengan memperkenalkan pakej pelancongan multi destinasi yang menghubungkan beberapa negara anggota ASEAN dalam satu perjalanan misalnya cadangan pakej seperti Ekopelancongan ASEAN & Pelancongan Muslim friendly.

“Namun bagi mengembangkan pakej pelancongan multi destinasi ini akan memerlukan beberapa strategi seperti penyelarasan imigresen supaya dapat mempercepatkan pelaksanaan visa pelancongan serantau seperti ASEAN Common Visa.

“Kedua, kerjasama syarikat penerbangan dengan meningkatkan laluan penerbangan serantau serta memperkenalkan pas khas seperti unlimited ASEAN Air Pass serta pembangunan infrastruktur iaitu dengan mempesatkan  serta memperbaiki jaringan pengangkutan kereta api, bas ekspres dan feri antara negara ASEAN di samping menyelaraskan perancangan pakej tour dari prospek projek ECRL.

“Dalam masa sama, hal yang perlu dititikberatkan adalah promosi bersama antara negara ASEAN dalam menjalankan kempen pemasaran pelancongan bersama melalui e-marketing, pameran pelancongan antarabangsa dan ejen pelancongan global,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, mengenai usaha memudahkan proses rentas sempadan yang dibincangkan oleh menteri-menteri pelancongan ASEAN sempena Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2025 baru-baru ini, beliau berkata, ia perkara mustahak dalam memastikan pergerakan pelancong lebih lancar dengan dasar imigresen yang lebih fleksibel.

“Kerjasama rentas sempadan dapat mempermudah pergerakan pelancong antarabangsa dan intra-ASEAN. Langkah ini bukan sahaja meningkatkan daya saing sektor pelancongan tetapi juga memberi keselesaan kepada pelancong dalam merancang perjalanan mereka dalam negara-negara ASEAN.

“Menggalakkan pelancongan lintas sempadan (cross-border tourism) antara negara jiran seperti Malaysia–Thailand dan Malaysia–Indonesia. ASEAN mempunyai sempadan darat dan maritim yang panjang. Dengan geografi ini, ia memberikan peluang besar untuk membangunkan pelancongan lintas sempadan.

“Pelancongan ini boleh berkembang melalui kerjasama infrastruktur, dasar yang mesra pelancong dan promosi bersama antara negara ASEAN yang bersempadan,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, keselamatan pelancong adalah aspek penting dalam memastikan ASEAN menjadi destinasi pelancongan yang selamat dan mesra pelawat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas