TANGGUNGJAWAB diterima Malaysia selaku Pengerusi ASEAN untuk tahun 2025 memberikan kelebihan besar kepada negara dalam memperkukuh peranan sebagai hab pelancongan utama di rantau ini.
Timbalan Presiden Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MiTDA), Datuk Azlie Halim berkata, untuk itu Malaysia berpeluang mengetuai usaha promosi pelancongan serantau sekali gus memperkenalkan pelbagai inisiatif.
“Antaranya baru-baru ini Malaysia menjadi tuan rumah kepada ASEAN Tourism Forum (ATF) yang diadakan di Johor Bahru. Ini membuka ruang kepada Malaysia mempromosikan produk-produk pelancongan tempatan dengan lebih meluas lagi di persada antarabangsa.
“Selain itu, pelancaran kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 telah menjadi penggerak kepada usaha memastikan sektor pelancongan negara menjadi pemaju ekonomi di rantau ini,” katanya kepada Wilayahku.
Azlie yang juga Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memberitahu begitu juga dengan pakej pelancongan lintas sempadan ASEAN, seperti laluan pelancongan bersama Malaysia-Thailand-Singapura-Indonesia untuk menarik lebih ramai pelancong antarabangsa.
Apa yang pasti katanya kerjasama promosi dengan rakan strategik ASEAN dapat menonjolkan nama Malaysia sebagai hab pelancongan khususnya dalam pelancongan bertemakan warisan, ekopelancongan dan mesra Muslim.
“Dengan strategi menyeluruh merangkumi promosi, infrastruktur, pelancongan digital, keselamatan dan pelaburan, saya percaya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang bekerja keras untuk memastikan kejayaan TMM 2026.
“Gerak kerja yang bersepadu melibatkan beberapa agensi kerajaan dan swasta bukan sahaja akan meningkatkan kedatangan pelancong tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh jenama Malaysia di peringkat global,” katanya.
Beliau berkata, Kepengerusian ASEAN 2025 memberi kelebihan besar kepada Malaysia dalam mempercepat pemulihan dan pertumbuhan sektor pelancongan, seterusnya menyumbang kepada kejayaan TMM 2026.
Katanya dengan peningkatan pelaburan, infrastruktur, promosi serantau dan pemerkasaan ekonomi tempatan, Malaysia berpotensi mencapai sasaran pelancongan yang lebih tinggi, sekali gus meningkatkan hasil ekonomi negara secara menyeluruh.
Sebagai Pengerusi ASEAN jelasnya Malaysia akan menjadi tumpuan pelancong antarabangsa melalui pelbagai persidangan, pameran dan acara pelancongan, yang dilihat mampu meningkatkan promosi destinasi tempatan.
“Sektor mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) umpamanya banyak membuka ruang untuk delegasi antarabangsa berkunjung ke negara ini sekali gus memberikan limpahan ekonomi langsung.
“Apa yang pasti peningkatan kedatangan pelancong akan menyumbang kepada peningkatan pendapatan negara melalui sektor pelancongan, termasuk hasil daripada perbelanjaan pelancong terhadap penginapan, makanan, pengangkutan dan cenderamata.
“Selain itu, peningkatan pelancong juga akan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dalam sektor pelancongan dan ia mampu mengurangkan kadar pengangguran,” katanya.
Beliau menambah bahawa tanggungjawab Malaysia selaku Pengerusi ASEAN akan menarik lebih ramai pelancong pada tahun ini, yang boleh menjadi lonjakan awal bagi mencapai sasaran 35.6 juta pelancong antarabangsa sempena TMM 2026.
Walau bagaimanapun katanya statistik kedatangan pelancong harus diselaraskan bagi memastikan angka tersebut relevan dengan prestasi semasa industri pelancongan di rantau ini.
Katanya, perbandingan statistik kedatangan pelancong antarabangsa antara Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia menunjukkan prestasi yang berbeza bagi setiap negara. – WILAYAHKU