Berita

Putrajaya Open Day 2025 sasar 100,000 pengunjung

- Diterbit 6 Februari 2025 4:21 PM MYT

SERAMAI 100,000 pengunjung disasarkan sepanjang empat hari penganjuran Karnival Wilayah Persekutuan dan Hari Terbuka Putrajaya (POD) 2025.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, karnival ini adalah manifestasi komitmen pihaknya dalam membawa perkhidmatan Kerajaan terus kepada rakyat.

“Penganjuran POD pada dua tahun terakhir telah berjaya menjana return on investment atau pulangan ekonomi yang memberangsangkan dengan kutipan keseluruhan sehingga RM15 juta.

“Objektif utama acara ini adalah untuk memudahkan orang ramai mendapatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan dan swasta dengan lebih mudah dan efisien tanpa perlu berkunjung ke pelbagai agensi atau pejabat kerajaan secara berasingan,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan Karnival Wilayah Persekutuan dan Hari Terbuka Putrajaya 2025 di Dewan Seri Siantan, Putrajaya hari ini.

Zaliha berkata, karnival yang merupakan sebahagian daripada Sambutan Hari Wilayah Persekutuan ke-51 ini, melibatkan seramai 450 vendor dan pempamer.

“Ia terdiri daripada kementerian, jabatan/agensi, swasta, syarikat telekomunikasi, pameran kerjaya, produk pelancongan Putrajaya dan Tourism Negeri, perbankan, TVET, GLC, agro dan produk hiliran, gerai jualan makanan serta minuman.

“Tapak acara telah dibahagikan kepada 12 zon dengan pengisian yang padat dan pelbagai serta sesuai untuk semua peringkat umur,” katanya.

Zaliha berkata, penganjuran POD2025 pada kali ini bukan hanya dilaksanakan oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan sokongan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), tetapi turut dijayakan dengan kerjasama ramai rakan strategik termasuk kementerian, agensi kerajaan, syarikat swasta, perbankan, telco, serta industri lain seperti syarikat hartanah dan pelancongan.

“Kerjasama ini amat penting bagi memastikan kejayaan POD2025, di mana ia melibatkan penyampaian perkhidmatan yang lebih menyeluruh di bawah satu bumbung,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas