GARIS panduan mengenai penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama lain masih dalam proses libat urus bersama pihak berautoriti termasuk Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN).
Demikian ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar sebagai menjawab kritikan beberapa pihak mengenai garis panduan berkenaan.
Malah katanya, ia akan diteliti secara komprehensif oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali ke-126.
“Jawatankuasa Muzakarah MKI dipengerusikan olehDatuk Dr Nooh Gadot serta dianggotai mufti-mufti dan ahli-ahli pakar.
“Keputusan Jawatankuasa Muzakarah MKI akan diangkat kepada pertimbangan Mesyuarat MKI yang dipengerusikan Sultan Perak,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohd Na’im berkata, garis panduan yang turut merangkumi penglibatan orang Islam dalam upacara kematian orang selain Islam serta kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat selain Islam dibangunkan bertujuan menggalakkan perhubungan sosial dan budaya harmoni di kalangan masyarakat majmuk berbilang agama di Malaysia.
Jelasnya, menerusi garis panduan yang sedang dibangunkan tersebut, orang Islam akan dapat menghadiri majlis perayaan atau upacara penganut agama lain dalam keadaan tertib, mematuhi adab serta memelihara pegangan akidah Islam.
“Garis panduan yang sedang dibangunkan itu juga adalah bersifat nasihat.
“Setelah ia dimuktamadkan nanti, garis panduan itu akan memandu dan merancakkan usaha kerajaan untuk mengukuhkan perpaduan dan membina sikap saling hormat-menghormati di kalangan rakyat tanpa berasa bimbang atau salah faham daripada perspektif agama Islam,” katanya.
Jelas beliau, ia secara langsung akan memastikan penganjuran dan penglibatan orang Islam dalam aktiviti-aktiviti tersebut tidak akan mencetuskan kontroversi atau menyentuh sensitiviti antara para penganut agama.
Untuk itu katanya, semua pihak diminta tidak menimbulkan salah faham atau mempolemikkan isu tersebut sehingga menimbulkan keresahan awam.
Ini kerana tambahnya, tujuan garis panduan itu dibangunkan adalah mulia iaitu demi memastikan penganjuran aktiviti berorientasikan keagamaan dilaksana secara tertib dan seterusnya menjadi salah satu wadah berkesan ke arah pengukuhan keharmonian negara tercinta.
Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam, Mohd Na’im berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang memuktamadkan satu garis panduan mengenai penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama lain.
Antara lain katanya, penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan mestilah tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam. – WILAYAHKU