Berita

JAKIM muktamadkan garis panduan penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan lain

Foto: BERNAMA
- Diterbit 5 Februari 2025 11:38 AM MYT

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang memuktamadkan satu garis panduan mengenai penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia merangkumi garis panduan penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan dan upacara kematian orang selain Islam serta kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat selain Islam.

“Antara lain penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan mestilah tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan mengenai ketetapan kerajaan dalam sambutan perayaan agama lain selain Islam yang turut melibatkan orang Islam.

Mohd Na’im berkata, contoh-contoh perbuatan yang menyentuh sensitiviti masyarakat Islam itu adalah melalui ucapan atau nyanyian berbentuk propaganda, penyebaran risalah dan agama lain.

Selain itu katanya, persembahan atau ucapan yang menghina atau mempersenda pegangan agama masyarakat Islam termasuk pelaksanaan majlis dalam tempoh umat Islam melaksanakan ibadah seperti waktu azan, solat jemaah, khutbah dan solat Jumaat.

“Contoh lain adalah lokasi majlis tidak berhampiran dengan masjid, surau, tanah perkuburan Islam dan tanah wakaf serta premis yang digunakan tidak mempamerkan simbol keagamaan bukan Islam,” katanya.

Di samping itu jelasnya, penganjur perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berautoriti dan perlu mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama Islam jika jemputan melibatkan pemimpin atau orang Islam sebelum sesuatu majlis perayaan dilaksanakan.

“Garis panduan ini akan dimuktamadkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali ke-126 yang dijadualkan pada 25 hingga 27 Februari ini.

“Garis Panduan ini juga melengkapi Garis Panduan 2005 dan masih boleh dijadikan sebagai panduan. Mana-mana yang dalam garis panduan lama bertentangan dengan yang baru, maka garis panduan yang lama tidak akan terpakai,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan sentiasa tegas dan berpendirian bahawa akidah umat Islam mestilah dijaga dan pada masa yang sama memelihara perpaduan pelbagai kaum dan agama dalam masyarakat Malaysia. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas