AMERIKA Syarikat (AS) masih menjadi rakan dagangan yang penting bagi Malaysia biarpun bakal berdepan ketidaktentuan termasuk beberapa keputusan diumumkan Presiden Donald Trump berhubung pelaksanaan tarif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, nilai dagangan Malaysia dan AS mencapai 11 peratus dan dilihat agak tinggi manakala eksport Malaysia ke negara itu kekal pada 13 peratus.
Biarpun begitu jelasnya, dasar Malaysia yang disepakati ASEAN adalah centrality, bermakna mengambil pendekatan yang bebas, berkecuali dan membuka jaringan dengan semua negara.
“Walaupun nampak kedekatan kita dengan China, Brazil, Afrika Selatan, Kanada dan Mexico, hubungan dan engagement dengan AS itu diteruskan sehingga sekarang.
“Kita tidak boleh ambil tindakan yang terlalu pantas kerana ada ketidaktentuan, bukan sahaja geopolitik tetapi beberapa keputusan diumumkan Presiden Donald Trump.
“Umpamanya ada perubahan, pagi semalam, bila dia (Trump) tidak akan teruskan dan beri penangguhan pelaksanaan tarif kepada Kanada dan Mexico. Jadi dalam tempoh sebulan perubahan dasar dijangka mungkin berlaku atau dikekalkan,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai kedudukan Malaysia terhadap perang perdagangan dunia yang dicetuskan melalui pelaksanaan tarif oleh Trump dan adakah Malaysia akan berdiri bersama China, Kanada dan Mexico serta apakah langkah kewangan dan fiskal untuk melindungi ekonomi dan rakyat Malaysia daripada kesan tarif itu.
Anwar memberitahu, apa yang Malaysia lakukan selama ini adalah dasar bebas dan berkecuali, tetapi secara agresif membuka jaringan dengan negara-negara lain.
“Umpamanya dengan Afrika melalui Afrika Selatan dan Ethiopia; Amerika Latin melalui Brazil dan Peru, kita buka umpamanya satu pendekatan yang lebih baik dengan China dan Russia, dan ini pengakuan telah diberikan oleh Presiden Vladimir Putin sendiri.
“Dengan jaringan ini kita percaya boleh membantu dari sudut memberi ruang pelaburan baru selain meneruskan dan meningkatkan eksport kepada negara-negara yang bertambah itu,” katanya.
Biarpun begitu tegas beliau, kerajaan mesti mengambil langkah-langkah proaktif bagi menangani impak tindakan Trump itu.
“Selain daripada membuka jaringan rakan-rakan dagang yang lebih luas dengan negara-negara baharu, kita harus juga tentukan program-program pertumbuhan diperluaskan dalam negara sendiri mengikut dasar-dasar yang telah diumumkan.
“Ini juga ditambah dengan beberapa langkah fiskal termasuk rasionalisasi subsidi yang tentunya akan menentukan kadar pertumbuhan kita terjamin dan inflasi terkawal,” katanya. – WILAYAHKU