AKTRES popular, Nora Danish menjadi inspirasi ramai apabila nekad menggantikan semula solat yang pernah ditinggalkan dengan sengaja sebelum ini.
Menerusi hantaran di laman sosialnya, Nora memberikan kaedah untuk membayar ‘hutang’ solat fardu yang pernah ditinggalkan sebelum ini.
Dalam masa yang sama, Nora berkata, dia pernah menangis kerana berasa penat melakukan solat qada yang banyak.
“Rasanya saya banyak kali tinggalkan solat sejak akil baligh. Jadi sekarang apa yang perlu lakukan adalah setiap kali solat fardu, saya akan tambah dengan solat qada.
“Contohnya, solat Zohor empat rakaat, kemudian saya akan tambah lagi empat rakaat untuk ganti.
“Awal-awal nak qada solat saya menangis sebab rasa penat sangat. Saya hanya mengadu dan meluahkan itu kepada Allah.
“Tetapi, lama-kelamaan saya jadi ‘ketagih’ nak langsaikan semua hutang solat yang pernah ditinggalkan sebelum ini,” katanya.
Nora ditemui media pada majlis pelancaran butik Amber yang berlangsung Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Nora juga akui dia akan melakukan solat qada sehingga hujung nyawanya.
“Kalau dulu mungkin setiap kali diuji akan rasa beremosi, tetapi sekarang saya serahkan segalanya kepada Yang Maha Esa. Insya-Allah, saya akan lakukan qada solat sehingga akhir hayat saya. Selamanya,” tambahnya lagi. – WILAYAHKU