KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) bakal membina bangunan baharu Kompleks Jabatan Pendidikan Labuan bernilai RM100 juta di Kampung Bukit Kalam yang dijangka bermula pada hujung tahun ini.
Menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) KPM, Datuk Wan Hashim Wan Rahim, projek pembinaan bangunan baharu itu telah diluluskan dibawah Rancangan Malaysia Ke-12 dan dilaksanakan dibawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Katanya, pembinaan bangunan kompleks itu yang dibina diatas tapak sedia ada di Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Labuan Bukit Kalam jelas menunjukkan pencapaian tahap pendidikan tempatan di pulau itu amat penting.
“Pembinaan kompleks tersebut yang bernilai RM100 juta merupakan perkara yang ditunggu oleh kakitangan Jabatan Pendidikan Labuan yang mana ketika ini menyewa premis bangunan Kompleks Ujana Kewangan.
“Apabila bangunan baharu ini siap kelak, sudah tentunya ia menjadi satu sumber kebanggaan,”katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan blok tambahan baharu Prasekolah Kebangsaan Patau-Patau, pada Isnin.
Hadir sama, Pengarah JKR Labuan Ir Mohd Faizul Mohd Ali Hanafiah, Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan Abidin Marjan. – WILAYAHKU