TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan mengadakan pertemuan dengan pelajar Malaysia di Universiti Al-Azhar, Mesir dan Universiti Islam Madinah, Arab Saudi sewaktu menunaikan ibadah umrah.
Walaupun lawatan peribadi dan singkat, jadual beliau penuh dengan sesi bersama para pimpinan pelajar dan penerima anugerah kecemerlangan termasuk Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Mohd Tarid Sufian.
Perjumpaan itu bertujuan memberi sokongan moral dan motivasi kepada pelajar yang berada jauh di perantauan. Banyak perkara dibincangkan yang boleh dilaksanakan untuk manfaat ramai.
Dalam pertemuan di kedua-dua buah negara itu, Zulkifli menyampaikan perkongsian tentang perkembangan terkini Malaysia MADANI, isu-isu semasa dan aspek kenegaraan serta peranan Malaysia pada peringkat antarabangsa, termasuk sebagai Pengerusi ASEAN.
Zulkifli turut memberi lebih peluang kepada para pelajar untuk memberikan perkongsian dan buah fikir dalam sesi dialog dengan mereka.
Beliau juga menekankan aspek keilmuan dan peri pentingnya pemikiran wasatiy, inklusif, damai dan meraikan kepelbagaian.
“Ilmuwan mesti mempunyai kemahiran dan ketinggian akhlak, mampu menguruskan kepelbagaian, selain saling hormat menghormati sebaiknya,” kata Zulkifli.
Beliau menegaskan ‘kita kini menjadi trend setter dan thought leader untuk memacu dan menerajui ASEAN sebaiknya’.
Katanya, Malaysia menjadi rujukan serantau dan dunia.
“Rakyat Malaysia perlu disibukkan dengan perkara yang lebih produktif, membina dan mendamaikan.
“Kita tidak boleh hilang fokus sekiranya ingin membawa Malaysia ke arah lebih gemilang di persada dunia,” tambahnya lagi.
Universiti Al-Azhar dan Universiti Islam Madinah merupakan institusi pilihan utama pelajar Malaysia untuk mendalami bidang agama di luar negara.
Dalam pertemuan itu, Zulkifli bertanya khabar dan menjamu pelajar di kedua-dua buah negara bersejarah tersebut. Beliau juga menghadiahkan beberapa buah buku tulisan beliau dan sedikit sumbangan peribadi kepada pimpinan pelajar.
Zulkifli mendoakan semoga kesemua pelajar terus istiqamah mengangkat adab dan budaya ilmu, selain matang dalam permusafiran.
Sebagai rekod, anak lelaki sulung kepada Zulkifli kini sedang melanjutkan pelajaran di Al-Azhar, Kaherah. – WILAYAHKU