Berita

Program Kembali Ke Sekolah ringan beban keluarga

- Diterbit 26 Januari 2025 6:03 PM MYT

PROGRAM Kembali Ke Sekolah meringankan beban ibu bapa serta keluarga yang kurang berkemampuan di Bandar Tun Razak.

Menurut Ahli Parlimennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail seramai 1,000 orang pelajar dari semua sekolah menengah dan rendah harian di Parlimen Bandar Tun Razak terpilih untuk menerima sumbangan bersempena Program Kembali ke Sekolah mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

“Anak-anak ini akan menerima sebuah beg sumbangan Yayasan MyPrihatin, baucer Pusat Pakaian Hari-hari bernilai RM100 menerusi sumbangan oleh Amanah Ikhtiar Malaysia, Tenaga Nasional Berhad dan Yayasan Gerbang Bandar Tun Razak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Kembali Ke Sekolah dan Penyerahan Sumbangan Khas Kepada PIBG Sekolah-sekolah di Parlimen Bandar Tun Razak bagi Tahun 2025 di Pusat Latihan DBKL.

Jumlah keseluruhan penerima bantuan itu seramai 2,800 pelajar.

Menurut Wan Azizah, beliau yakin program itu akan memberi manfaat kepada semua pihak terutama anak-anak yang bakal memasuki sesi persekolahan bagi tahun 2025 yang akan bermula pada 17 Februari ini.

Beliau berkata penyerahan mock cheque bernilai RM5,000 diberikan melalui akaun PIBG ke 23 buah sekolah rendah dan menengah di Parlimen Bandar Tun Razak.

“Jumlah keseluruhan sumbangan kepada PIBG ini ialah RM115,000.

“Usaha kami dalam membantu warga Parlimen Bandar Tun Razak tidak akan berhenti setakat ini sahaja.

“Seluruh masyarakat di Parlimen Bandar Tun Razak sentiasa dekat di hati saya. Pelbagai program telah dirancang dan akan dilaksanakan demi kebaikan, kebajikan dan kesejahteraan semua,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berkata dengan jumlah keseluruhan 2,800 pelajar Bandar Tun Razak terima bantuan hari ini menyaksikan penambahan sebanyak 800 pelajar berbanding tahun lalu.

“Tahun ini tambah lagi sebanyak 800 pelajar terima sumbangan Program Kembali Ke Sekolah.

“Terima kasih penaja kita yang memberi bantuan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas