MENGORAK langkah memperkukuh kedudukan sebagai pusat rujukan utama penyakit vaskular di Malaysia, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) membuka Makmal Vaskular PPUM, sebuah fasiliti moden terbaharu bagi meningkatkan penjagaan kesihatan vaskular di Asia Tenggara.
Menurut PPUM, fasiliti tersebut berpotensi besar memainkan peranannya sebagai sebuah pusat rujukan vaskular terkemuka yang menawarkan rawatan komprehensif untuk pelbagai penyakit vaskular bertujuan mengurangkan risiko komplikasi serius seperti kematian serta meningkatkan kualiti dan jangka hayat pesakit.
Pengarah PPUM, Profesor Dr Nazirah Hasnan berkata, makmal tersebut tidak hanya memberikan rawatan terbaik kepada pesakit, tetapi juga melambangkan komitmen kami untuk meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan melalui inovasi dan teknologi.
“Inisiatif seperti ini membantu kami menyediakan pilihan rawatan yang lebih efektif demi kesejahteraan pesakit,” ujar beliau dalam kenyataan.
Tambahnya, makmal tersebut juga berperanan sebagai pusat sehenti khusus untuk pesakit penyakit buah pinggang kronik dan Vena Varikos merangkumi perkhidmatan rawatan dan khidmat nasihat yang diperlukan.
Terdahulu, perasmian makmal tersebut disempurnakan di Tingkat 6, Menara Timur, Pusat Perubatan Universiti Malaya. – WILAYAHKU