Berita

BAM pertaruh gabungan pemain berpengalaman, bakat muda

- Diterbit 23 Januari 2025 5:41 PM MYT

BEREGU campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai, menjadi sandaran utama bagi membantu pemain muda memburu pingat dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC).

Ia berikutan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memutuskan untuk menurunkan pasukan yang terdiri daripada pemain yang sedang meningkat dalam kejohanan yang akan berlangsung di China bermula 11 hingga 16 Februari depan.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Rexy Mainaky berkata, gabungan pemain yang dipilih itu mampu menampilkan prestasi cemerlang.

“Selepas banyak pertimbangan, kami memilih pasukan yang seimbang, menggabungkan pengalaman senior dengan pemain pelapis untuk memberi mereka peluang. Jika bukan sekarang, bila lagi mereka akan mendapat peluang?”

“Pemain utama kami bersiap sedia untuk berhadapan kalendar yang padat dan kejohanan ini menyediakan platform yang sangat baik untuk pemain pelapis meningkatkan dan memperoleh pengalaman berharga,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi acara perseorangan lelaki, cabaran negara akan digalas Leong Jun Hao dan Justin Hoh manakala gandingan Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King menjadi taruhan dalam beregu lelaki.

Pemain ke-59 negara, K Letshanaa dan Wong Ling Ching akan mewakili perseorangan wanita, beregu wanita pula diwakili Teoh Mei Xing-Go Pei Kee dan Tan Zhing Yi-Cheng Su Hui dan Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin akan beraksi dalam acara beregu campuran.

Manakala pemain-pemain terbaik negara termasuk pemenang dua kali pingat gangsa Olimpik Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (beregu lelaki), Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita), Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (campuran beregu) dan perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia tidak disenaraikan daripada menyertai kejohanan itu.

Skuad Malaysia dijangka berdepan tugas berat di Qingdao selepas diundi dalam Kumpulan B menentang Indonesia, Hong Kong dan Kazakhstan.

Juara dan naib juara kumpulan layak ke suku akhir manakala empat pasukan terbaik dalam kejohanan itu mendapat tiket automatik ke Piala Sudirman 2025 di Xiamen, China dari 27 April hingga 4 Mei depan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas