PEKERJA sosial harus dilengkapi dengan kemahiran penggunaan big data, kerja sosial berasaskan bukti (evidencebased practice) serta pembangunan dasar berpandukan kepada keperluan spesifik masyarakat, ujar Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Katanya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kini bersedia mendepani cabaran menghadapi status negara menua menjelang tahun 2030 dengan menyediakan pekerja sosial yang profesional dan memperkukuhkan ekosistem sokongan sosial di Malaysia.
“Sebanyak 15 peratus populasi negara ini dijangka akan terdiri daripada warga emas.
“Keyakinan, sikap dan kemahiran spesifik dalam bidang praktis kerja sosial serta kemampuan melaksanakan tugas dengan baik di institusi kebajikan dan industri penjagaan adalah satu keperluan,” ujar beliau dalam kenyataan.
Tambahnya, pelaksanaan inisiatif seperti Program Sijil Profesional Asas Kerja Sosial (SPAKS) anjuran Institut Sosial Malaysia (ISM) bertepatan dengan hasrat dan aspirasi Kerajaan Malaysia MADANI yang menitikberatkan keterangkuman, pembangunan modal insan yang terampil serta bernilai sosial demi membentuk masyarakat yang lebih bertoleransi, harmoni dan progresif.
Terdahulu, beliau merasmikan Program Sanjungan Ilmu iaitu Majlis Graduasi SPAKS anjuran ISM. – WILAYAHKU