KEMAJUAN sesebuah negara tidak sahaja diukur pada pembangunan prasarana, tetapi juga aras intelektual dan pemikiran masyarakat. Sekalipun begitu, pembangunan intelektual dan pemikiran tidak sama dengan mendirikan sesebuah mercu tanda, sebaliknya perlu meningkatkan tradisi ilmu.
Salah sebuah tempat yang berperanan mengangkat aras intelektual dan pemikiran dalam masyarakat adalah perpustakaan. Keberadaan dan apresiasi terhadap perpustakaan pula berkait rapat dengan budaya membaca dan tradisi keilmuan dalam kalangan masyarakat sekitar.
Tanpa ekosistem seperti budaya membaca dan tradisi ilmu dalam kalangan masyarakat, perpustakaan mungkin menjadi ‘gajah putih’ yang tidak dimanfaatkan untuk membangunkan dan meluaskan pemikiran. Perpustakaan penting kerana menyumbang dalam proses menyediakan manusia yang boleh memanfaatkan pembangunan prasarana dengan sebaiknya.
Perpustakaan juga seperti membaca buku, bukan pergi ke situ hanya untuk lulus peperiksaan. Ia tidak ada kena-mengena dengan peperiksaan – sama ada di sekolah atau universiti. Perpustakaan diperlukan sepanjang hayat untuk menjadikan kita manusia lebih berilmu.
Sesetengah pihak menganggap perpustakaan tempat yang membosankan. Keadaannya senyap dan sunyi, tidak boleh berbual-bual seperti di tempat lain. Ia barangkali membosankan kepada yang belum menikmati rasa terhibur yang tersendiri.
Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur mendukung tanggungjawab yang disebutkan di atas. Sekalipun bangunannya tidak tinggi dan gah mencakar awan, akan tetapi itulah gedung yang menyimpan dan menyediakan sumber pelbagai ilmu kepada kehidupan manusia.
PNM satu-satunya perpustakaan yang terbesar, bukan bangunan tetapi buku dan sumber maklumatnya. Jumlah koleksi buku dan nilai buku dalamnya sama ada dalam bentuk fizikal atau digital yang menjadi ukuran. Tidak sahaja buku tetapi juga jurnal yang menyimpan begitu banyak ilmu untuk diambil manfaat oleh pengunjung.
PNM melangkah tahun 2025 dengan wajah baharu Anjung Bestari yang merupakan ruang buku termasuk secara digital. Anjung Bestari yang berwajah baharu dibuka dengan rasminya pada 2 Januari lalu selepas lebih tiga tahun melakukan pengubahsuaian ruang lama. Kini Anjung Bestari menyediakan keselesaan dan kemudahan kepada pengunjung sama ada untuk meminjam atau membaca.
PNM memainkan peranan yang signifikan dalam menyediakan akses pada bahan bacaan, maklumat dan sumber ilmu. Sebagai institusi pendidikan, perpustakaan termasuk PNM memainkan peranan besar dalam meningkatkan kualiti dan taraf pemikiran serta intelektual masyarakat.
Pembukaan semula Anjung Bestari dengan reka bentuk yang lebih moden serta mesra pengguna dilihat berupaya membantu meningkatkan minat dan kecenderungan membaca dalam kalangan masyarakat. Malah kemudahan mengakses maklumat yang menyumbang pada luasnya ruang litup pemikiran terutama dalam kalangan warga kota.
Dengan sokongan teknologi digital, pengunjung boleh mengakses maklumat digital, e-buku, jurnal dalam talian dan pelbagai lagi bahan bacaan secara mudah melalui platform digital yang disediakan. Hal itu membawa PNM pada aras yang lebih tinggi dalam hal kemudahan dan kebolehcapaian maklumat.
Reka bentuk PNM yang bermotifkan tengkolok songket itu tidak bermula dengan mudah. Awalnya pada akhir tahun 1970-an, PNM hanya beroperasi di Wisma SYS di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur dengan jumlah bahan bacaan yang jauh lebih kecil.
Sekalipun begitu, sambutan warga kota terhadap PNM amat cemerlang. PNM menjadi tumpuan pengunjung kerana waktu itu sukar mengakses maklumat dari luar negara seperti buku dan jurnal. Malah surat khabar dari luar negara juga tidak dijual di negara ini.
Maka di PNM pengunjung dapat melihat perkembangan yang berlaku di serata dunia, buku-bukunya tidak ada dijual di kedai-kedai buku biasa di Kuala Lumpur. Malah belum ada lagi kedai buku mega seperti Kinokuniya atau MPH seperti sekarang.
Sebenarnya tanda aras sesebuah perpustakaan bukanlah pada bangunan, tetapi jumlah bahan bacaan yang terdapat di tempat berkenaan. Sekalipun begitu, tidak ada salahnya memberikan wajah baharu yang lebih menarik selain secara berterusan menambah jumlah bahan bacaan.
Maka inisiatif memberikan wajah baharu pada Anjung Bestari adalah suatu langkah tepat, tambahan pula sumbangan PNM yang besar dalam menyediakan ahli masyarakat yang berilmu dan berpemikiran luas. Tambahan pula ruang yang sebelum ini agak tidak begitu selesa untuk menampung pengunjung berbanding yang baharu ini.
Secara peribadi saya mula mengenali PNM ketika beroperasi di Wisma SYS tahun 1984. Saya menghabiskan cuti hujung minggu di PNM kerana di situlah gedung maklumat yang paling besar. Tidak sahaja membaca buku malah sumber maklumat lain seperti jurnal yang banyak membantu kerjaya saya sebagai wartawan.
Pada 1994, saya mengikut PNM yang berpindah ke tapak sekarang di Jalan Tun Razak. Di situlah tempat lepak saya kerana memburu ilmu dan maklumat yang tidak habis diterokai di PNM. Ketika itu selain PNM, saya juga kerap ke Balai Seni Lukis Negara (BSLN) di Hotel Majestic dan Muzium Negara. Ketiga-tiga entiti itu banyak membantu saya mencorakkan pemikiran dalam kerjaya.
Itulah antara penyumbang daripada aspek pembangunan manusia khususnya berkaitan intelektual, akhlak, sejarah dan budaya. Di mana-mana negara sekalipun, kemajuan diukur pada prasarana fizikal dan keazaman membangunkan pemikiran manusianya, salah satunya mewujudkan perpustakaan dan galeri seni.
Perpustakaan dalam konteks kita adalah gedung ilmu yang merangkumi pelbagai bidang kehidupan. Maka keberadaan sesebuah perpustakaan bukan sekadar untuk penyelidikan, akan tetapi memanfaatkan ilmu yang boleh menyumbang kepada pembangunan tamadun manusia.
Berdirinya sebuah perpustakaan, tidak kira sedaif mana sekalipun adalah mencerminkan usaha membangunkan manusia dari sudut intelektual, akhlaknya serta rakaman sejarah ketamadunan bangsanya. Maknanya buku yang dimuatkan dalam sesebuah perpustakaan bukanlah benda mati, sebaliknya adalah biji benih yang boleh bercambah kepada indvidu yang memanfaatkannya.
Statistik menunjukkan PNM mempunyai 4.78 juta bahan merangkumi 4.52 juta bahan bercetak, 98,406 bahan tidak bercetak, 4,974 naskhah manuskrip Melayu dan 158,316 bahan digital. Malah ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 dulu PNM terus berperanan seperti biasa melalui kempen ‘Sila duduk dan baca buku.’
PNM mengambil langkah pantas menyediakan sebanyak 13.2 juta bahan bacaan digital secara percuma. Ini adalah langkah proaktif memastikan orang ramai terus membaca sekalipun hanya boleh bergerak dalam radius 10 kilometer.
Sebagai sebuah perpustakaan awam di negara ini, PNM menjadi institusi yang bertanggungjawab menyimpan catatan sejarah dan kebudayaan bangsa. Masa yang sama adalah pustaka yang memelihara pencapaian intelektual bangsa yang diterjemah dalam bentuk cetak dan digital – misalnya koleksi Malaysiana.
Manuskrip Melayu merupakan koleksi yang bernilai tinggi kerana dihasilkan dengan tulisan tangan dalam jawi pada awal abad ke-16 hingga awal abad ke-20. Ditulis menggunakan bahasa rumpun dunia Melayu yang menyentuh mengenai alam dan tamadun Melayu.
Mengambil sempena wajah baharu Anjung Bestari PNM, warga kota perlu memanfaatkan kemudahan yang disediakan di situ. Malah menjadi tanggungjawab kepada ibu dan bapa atau keluarga untuk menjinakkan anak-anak dengan tradisi mencari ilmu di perpustakaan.
KU SEMAN KU HUSSAIN merupakan Penulis Bebas
SETIAP artikel penulis adalah pendapat peribadi‚ bukan pendirian Wilayahku.