USAHA bagi membantu golongan murid yang memperolehi kecemerlangan dalam pendidikan di pulau ini, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukan Biasiswa Sekolah kepada 48 murid bagi sesi 2024/2025 membabitkan jumlah keseluruhan RM72,000.
Menurut Pengurus MAIWP Labuan Md Fadzli Md Saad, kesemua penerima biasiswa merupakan 48 murid tingkatan satu yang terpilih daripada 112 orang yang memohon bantuan itu.
Katanya, bagi tahun 2024 pihaknya telah membelanjakan lebih RM10 juta bagi kluster pendidikan termasuk penyaluran Bantuan Am Persekolahan kepada asnaf fakir, mualaf dan Bantuan Insentif Pelajar Cemerlang.
“Setiap murid akan menerima Bantuan Biasiswa RM1500 (setahun) membabitkan peruntukan MAIWP sebanyak RM72,000.
“Bantuan Biasiswa Sekolah bagi tingkatan satu hingga tiga adalah sebanyak RM1,500 setahun manakala tingkatan empat hingga lima RM2,500 setahun, tingkatan enam RM3,500 setahun dan mereka perlu bekerja keras untuk mengekalkan kecemerlangan sekali gus mengekalkan keputusan yang baik”, katanya pada majlis penyampaian bantuan itu, hari ini.
Pada masa sama, Md Fadzli turut menyeru agar ibu bapa dan penjaga harus memberikan dorongan dan pemantauan kepada anak mereka agar dapat meneruskan pembelajaran hingga satu tahap yang membanggakan kelak.
Hadir sama Timbalan Pengurus Operasi MAIWP Labuan, Mohd Radzaleih Matusin dan Ketua Unit Agihan Zakat MAIWP Labuan, Nur Atilla Jasneh. – WILAYAHKU